Sukan Lain

China kembali kukuhkan cengkaman acara ping pong

Oleh AFP

Tokyo: Pemain China, Chen Meng menumpaskan rakan senegaranya, Sun Yingsha untuk menang acara ping pong perseorangan wanita di Tokyo 2020, hari ini, pada ketika negara itu kembali mengukuhkan penguasaan dalam sukan itu.

Dalam pertarungan dua pemain terbaik dunia itu, Chen tewas perlawanan pertama sebelum bangkit 9-11, 11-6, 11-4, 5-11, 11-4, 11-9 untuk menang emas pertama di Sukan Olimpik.

Chen dan Sun kemudian berpelukan selepas perlawanan dan sama-sama memegang bendera gergasi China.

China yang kini menang 29 daripada 34 pingat emas ping pong dalam sejarah Sukan Olimpik, akan menambah satu lagi emas, esok apabila dua pemain lelaki negara itu berentap sesama sendiri di final.

Isnin lalu, China dikejutkan gandingan beregu campuran tuan rumah, Jun Mizutani dan Mima Ito yang juga emas pertama Jepun dalam acara ping pong di Sukan Olimpik.

Tetapi, China yang menyapu bersih semua emas dalam sukan itu di tiga Sukan Olimpik sebelum ini, kembali menguasai acara perseorangan lelaki dan wanita.

Ito yang dijangka mengancam pemain wanita China, tewas di tangan Sun di separuh akhir dan selepas itu mengakui jurang ketara prestasi mereka.

Ito, 20, kemudian memenangi gangsa selepas menewaskan seorang lagi pemain yang tewas di separuh akhir, Yu Mengyu dari Singapura.

Yu, pemain pilihan ke-26 yang mengalami masalah belakang perlu mendapatkan rawatan fisioterapi di hujung perlawanan ketika tewas kepada Chen yang juga pilihan utama.

Di separuh akhir lelaki, juara bertahan Olimpik dari China, Ma Long berdepan cabaran sengit sebelum menewaskan pemain Jerman, Dimitrij Ovtcharov.

Ma akan bertemu rakan senegaranya, Fan Zhendong di final, esok, tetapi pilihan utama itu turut berdepan cabaran sengit pemain Taiwan berusia 19 tahun, Lin Yun-ju dalam aksi sengit tujuh game di separuh akhir.

Disiarkan pada: July 29, 2021 @ 11:27pm
d