Sukan Lain

Harga sebenar pingat emas Olimpik tak sampai RM3,500

Oleh Agensi

Tokyo: Memenangi pingat emas Sukan Olimpik mungkin cukup berharga bagi atlet di seluruh dunia yang bekerja keras sepanjang hidup mereka, namun harga sebenar bagi pingat berkenaan sebenarnya adalah AS$820 (RM3,460).

Hadiah tempat pertama itu mengandungi 550 gram perak dan hanya enam gram lapisan emas masing-masing bernilai AS$466 (RM1,966) dan AS$353 (RM1,489).

Wartawan CNBC, Robert Hum melakukan segala kajian itu dengan mendedahkan komposisi pingat emas di Olimpik dan pelbagai pendapat dikongsi pengguna Twitter.

Ada yang bersimpati dengan nasib atlet kerana memperoleh pingat yang nilainya tidak seberapa namun ada juga yang berpandangan ia tidak ternilai mengambil kira pengorbanan atlet untuk memenanginya.

Bagaimanapun ia cukup bernilai jika seorang atlet itu menjual pingat berkenaan meskipun ia jarang berlaku.

The Mirror pernah mendedahkan rekod jualan untuk pingat emas Olimpik yang dimenangi petinju Wladimir Klitschko pada Olimpik Atlanta 1996 yang dijual kepada umum menerusi proses lelongan.

Ia terjual sekitar AS$1 juta (RM4.2 juta) pada 2012. Wang jualan itu kemudian diberikan kepada kerja-kerja amal dilakukan Klitschko dan malah pembeli berkenaan memberikan semula pingat berkenaan kepada petinju itu sebagai menghormati keringatnya memenangi pingat emas itu.

Sementara itu, pingat perak pula mengandungi 550 gram logam dan bernilai sekitar $415 (RM1,751) jika dileburkan.

Pingat gangsa diperbuat daripada aloi tembaga dan zink dan masing-masing bernilai kurang daripada AS$7 (RM29).

Disiarkan pada: July 30, 2021 @ 8:46pm
d