Sukan Lain

Dhabitah memukau, hampir raih gangsa

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Penerjun muda negara, Nur Dhabitah Sabri hampir menghadiahkan kalungan pingat buat Malaysia apabila menduduki tempat keempat dalam pusingan akhir acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita, sebentar tadi.

Walaupun gagal meraih pingat, pujian harus diberikan kepada penerjun muda negara itu apabila berjaya memberi amaran kepada peserta lain bahawa dia juga mampu menyinar.

Aksi yang berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo menyaksikan penerjun berusia 22 tahun itu berjaya mengumpul 326.15 mata untuk berada pada kedudukan keempat daripada 12 atlet bertanding.

Dhabitah yang melakukan lima terjunan berjaya mengekalkan rentak secara konsisten dengan kurang melakukan kesilapan untuk membolehkannya berada di kedudukan ke empat.

Namun, penerjun Amerika Syarikat, Krysta Palmer menafikan Dhabitah untuk memperoleh sekurangnya gangsa apabila terjun terakhirnya cukup cemerlang untuk berada di kedudukan ketiga secara keseluruhan dengan pungutan mata 343.75 mata.

Pemenang pingat emas di Olimpik Rio, Shi Ting Mao dari China mengulangi pencapaian sama apabila memperoleh emas dengan pungutan mata 383.50.

Seorang lagi penerjun China Wang Han memperoleh pingat perak dengan pungutan mata 348.75.

Disiarkan pada: August 1, 2021 @ 3:38pm
d