Sukan Lain

Gavin tamatkan kempen Olimpik dengan kekecewaan

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pemain golf negara, Gavin Green gagal menyinar di temasya Olimpik Tokyo apabila menamatkan saingan di kedudukan ke-57 selepas menamatkan saingan hari terakhir dengan mencatatkan satu atas par 72.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan dia melakukan catatan keseluruhan empat atas par 288 sepanjang empat hari pertandingan.

Walaupun gagal mencipta kejutan pada Olimpik kali ini, Gavin tetap berpuas hati kerana layak kali kedua menyertai temasya terbesar dunia itu.

"Saya agak bergelut di sini, cara permainan saya tidak begitu menjadi. Dari segi permainan memang saya sangat kecewa kerana saya tahu boleh bermain dengan lebih baik.

"Saya memerlukan masa kerana tahun ini saya agak bergelut dengan permainan saya.

"Apa pun saya gembira kerana dapat mewakili Malaysia, saya berharap akan sekali lagi terpilih mewakili negara di Paris 2024," katanya.

Pada aksi itu, Xander Schauffele dari Amerika Syarikat menamatkan saingan selaku pemenang pingat emas dengan catatan keseluruhan 18 bawah par 266 manakala pingat perak menjadi milik wakil Slovakia, Rory Sabbatini dengan 267 pukulan.

Sementara, C T Pan dari Taiwan menamatkan saingan selaku pemenang pingat gangsa selepas memenangi pusingan playoff empat lubang bersama enam pemain lain termasuk Collin Morikawa, Rory McIlroy, Hideki Matsuyama, Sebastian Munoz, Paul Casey dan Mito Pareira selepas terikat dengan kedudukan 269 pukulan.

Disiarkan pada: August 1, 2021 @ 6:08pm
d