Sukan Lain

Emma tetap merendah diri walaupun menang tujuh pingat

Oleh AFP

Tokyo: Emma McKeon tetap merendah diri sekalipun menang tujuh pingat dalam acara renang di Tokyo 2020, sekali gus meletakkannya sebaris dengan perenang hebat sepanjang zaman.

Tidak disangkal lagi, perenang Australia berusia 27 tahun itu adalah ratu kolam renang di Tokyo apabila menang empat emas dan tiga gangsa, mengatasi enam pingat dimenangi atlet Jerman Timur, Kristin Otto (1952) dan Amerika Syarikat (AS), Natalie Coughlin (2008).

Secara keseluruhan, dia terbabit dalam 13 perlumbaan dalam sembilan hari dan menyatakan belum benar-benar tenggelam setakat ini.

"Saya merasakan sama seperti orang lain di sini, kami sudah melakukan kerja dengan luar biasa," katanya pada sidang media bersama rakan yang memenangi emas termasuk Ariarne Titmus, Kaylee McKeown dan Cate Campbell.

"Seluruh pasukan melakukan tugas dengan luar biasa, saya hanya mahu menjadi sebahagian daripada pasukan itu.

"Saya bertuah dapat berada di sini dan Jepun membenarkan kami mengejar cita-cita kami."

Emma menyamai rekod atlet wanita paling cemerlang dalam satu Sukan Olimpik bersama gimnas Russia, Maria Gorokhovskaya (1952).

Ditanya bagaimana perasaannya apabila berada pada tahap setinggi itu, Emma berkata: "Sejujurnya, saya tidak bersendirian.

"Saya ada satu pasukan hebat bersama saya, jurulatih saya. Semua orang di sini bersama saya kerana mereka adalah pemenang pingat Sukan Olimpik dan itu pencapaian luar biasa."

Emma menang pingat emas menerusi acara 50m dan 100m gaya bebas wanita dengan mencatatkan rekod Olimpik bagi kedua-duanya, selain 4x100m gaya bebas berganti-ganti dan 4x100m rampaian berganti-ganti.

Dia turut menang gangsa bagi acara 100m kuak kupu-kupu, 4x200m gaya bebas berganti-ganti dan 4x100m campuran rampaian berganti-ganti.

Disiarkan pada: August 2, 2021 @ 11:40pm
d