Sukan Lain

Luahan terbuku hati Wendy

Oleh Hamdan Saaid

Kuala Lumpur: Kecederaan bahu tidak mengizinkan penerjun negara Wendy Ng memberikan persembahan terbaik sekali gus gagal melayakkan diri ke pertandingan akhir acara 3 meter papan anjal individu wanita Sukan Olimpik Tokyo, Jumaat lalu.

Wendy, 28, hanya mampu menduduki tangga ke-20 pada pusingan kelayakan ketika rakan sepasukannya Nur Dhabitah Sabri melayakkan diri ke pusingan akhir dan menduduki tangga keempat.

Dalam satu hantaran di Facebook dan Instagram, Wendy meluahkan isi hatinya selain memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia yang menyokongnya selama ini berikutan kegagalan pada penampilan ketiganya pada temasya terulung itu.

"Saya menghabiskan masa lima tahun berlatih untuk menghadapi Olimpik Tokyo. Saya sudah bekerja keras sebagai penerjun kebangsaan sejak 15 tahun lalu. Saya berasakan semua kerja keras, kecederaan, kesakitan, pahit dan tangisan ini bukan saja-saja.

"Keputusan ini bukannya seperti saya sasarkan buat diri sendiri dan saya berasa perlu memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia yang menyokong saya selama ini. Saya berlatih dengan gigih dalam usaha membanggakan Malaysia.

''Sayangnya saya cedera bahu ketika satu sesi latihan hanya beberapa hari sebelum pertandingan. Saya tetap berlatih dalam kesakitan dan cuba melakukan terjunan seperti mana saya dilatih. Bagaimanapun, badan saya tidak bertindak balas terhadap apa yang saya mahukan.

"Inilah realiti menjadi seorang atlet yang pahit untuk ditelan! Ia satu daripada hari yang mana semuanya tidak menjadi, saya perlu menerimanya dan melupakan semua ini. Atlet mana yang tidak mengimpikan untuk berdiri megah di podium?

''Atlet mana tidak mahu usaha kerasnya mendapat pengiktirafan? Tiada siapa memahami kesukaran kami alami selama ini. Kerja keras kami lakukan, kegagalan yang perlu kami atasi, pengorbanan perlu kami lalui untuk melangkah ke Olimpik. Inilah kehidupan seorang atlet.''

Penerjun berasal dari Kuala Lumpur itu menduduki tangga ke-24 pada penampilan Olimpik sulungnya di London 2012 sebelum memperbaiki catatan itu apabila layak ke pusingan akhir di Rio 2016 dan berakhir di tangga ke-10.

"Dari sudut positif, saya bertuah kerana mempunyai keluarga yang amat memahami. MSN (Majlis Sukan Negara), KBS (Kementerian Belia dan Sukan), ISN (Institut Sukan Negara) yang memastikan saya dijaga rapi.

''Penyokong dan penaja saya yang tetap ada di sana buat saya melalui detik pahit dan manis. Kempen saya sudah berakhir di Olimpik Tokyo dan tidak sabar rasanya untuk kembali bertemu keluarga yang sudah begitu lama tidak ditemui.''

Bagi Sukan Olimpik Paris 2024, Wendy menyatakan semuanya bergantung kepada apa yang berlaku dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Ia bukan kali pertama Wendy, yang digantung selama lapan bulan pada Mac 2018 kerana mengambil bahan larangan sibutramin pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, mengalami kecederaan bahu dan pernah menjalani pembedahan tiga tahun lalu.

Disiarkan pada: August 3, 2021 @ 12:04pm
d