Sukan Lain

'Tak apa, Lela'

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Meskipun gagal menyumbang pingat, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican percaya Pandelela Rinong sudah mempamerkan aksi terbaiknya.

Ratu terjun negara itu menduduki tempat terakhir daripada 12 peserta final 10 meter (m) platform individu wanita apabila mengumpul 245.85 mata sekali gus tidak dapat menyumbang pingat pada edisi Olimpik kali ini selepas meraih gangsa di London 2012 dan perak di Rio 2016.

"Terima kasih Pandelela Rinong atas usaha yang baik dalam peringkat akhir acara 10m platform individu wanita.

"Saya menyaksikan aksi Lela tadi yang bermula agak kurang kemas namun memperbaiki usaha di terjunan yang seterusnya.

"Tak apa, Lela. Saya tahu anda sudah melakukan yang terbaik #DemiMalaysia. Bukan mudah untuk berada pada tahap 12 penerjun wanita terbaik dunia.

"Saya yakin rakyat Malaysia sangat menghargai pencapaian Lela hari ini. Tidak sesekali akan putus sokongan rakyat buat Lela.

"Kita juga mahu lihat lebih ramai bakat baharu dapat dilahirkan dan ini memerlukan perancangan rapi dari semua pihak khususnya ASUM (Kesatuan Renang Malaysia)," katanya di Facebook miliknya.

Pada saingan itu, atlet berusia 14 tahun dari China, Quan Hongchan muncul pemenang pingat emas dengan 466.20 mata manakala rakan senegaranya, Chen Yuxi meraih perak dengan 425.40 mata.

Penerjun Australia, Melissa Wu pula meraih 371.40 mata untuk membawa pulang gangsa.

Disiarkan pada: August 5, 2021 @ 7:02pm
d