Sukan Lain

Ingebrigtsen tak selera makan sebelum menang emas 1,500m

Oleh AFP

Tokyo: Pelari Norway, Jakob Ingebrigtsen menang pingat emas acara 1,500 meter (m) lelaki dengan rekod baharu Sukan Olimpik, 3 minit dan 28.32 saat, hari ini, sambil mengakui dia tidak lalu dapat makan dengan betul kerana risau.

Emas Olimpik Tokyo 2020 itu membolehkan pelari berusia 20 tahun ini menambah koleksi selepas gelaran juara Eropah dan mengatasi juara sebelum ini, Timothy Cheruiyot dari Kenya, yang merangkul gangsa dengan catatan 3:29.01s.

Josh Kerr melakukan larian terbaiknya untuk menang gangsa dengan catatan 3:29.05s, sekali gus medal pertama pelari Britain itu dalam 33 tahun dalam acara yang pernah didominasi negara itu termasuk menang lima kali.

Ingebrigtsen - juara kedua termuda selepas pelari Kenya, Abel Kiprop yang berusia 19 tahun pada 2008 - berkata, debaran beraksi di temasya Olimpik menyebabkan dia bimbang.

"Saya berdepan masalah dengan makanan sejak beberapa minggu lalu kerana sudah menunggu lama untuk acara ini," katanya.

"Ini adalah apa yang anda mahukan sebagai pelari profesional. Saya berjaya menang emas pada percubaan pertama dan rasa seperti baru saja bermula.

"Pada masa sama, saya memang berangan-angan untuk kejayaan ini dalam hidup. Ia memang hebat."

Cheruiyot menguasai acara ini sejak dua tahun lalu dengan menang 10 perlumbaan termasuk juara dunia pada 2019, tetapi penguasaan itu berakhir apabila menduduki tempat keempat ketiga sesi pemilihan Kenya.

Dia pada mulanya tidak layak, sebelum dipanggil pada saat akhir.

Bagaimanapun, dia menyatakan berdepan masalah kejang otot yang menjejaskan prestasinya ketika pemilihan itu.

Disiarkan pada: August 7, 2021 @ 10:20pm
d