Sukan Lain

Perejam lembing India bakal jadi jutawan

Oleh AFP

New Delhi: Syarikat swasta dan kerajaan menjanjikan wang tunai dan hadiah bernilai lebih RM8.5 juta kepada perejam lembing, Neeraj Chopra selepas dia memenangi pingat emas pertama olahraga India dalam sejarah Sukan Olimpik, semalam.

Anak petani berusia 23 tahun itu yang menjalani pembedahan siku, dua tahun lalu dan nyaris menjejaskan kariernya, melakukan rejaman 87.58 meter di Stadium Olimpik Tokyo sempena Tokyo 2020, semalam, untuk membangkitkan keghairahan di negaranya.

Pencapaian Chopra itu membolehkan India merekodkan pencapaian terbaik di temasya Olimpik kali ini dengan satu emas, dua perak dan empat gangsa.

Dia akan menerima imbuhan tunai lumayan sebagai ganjaran atlet apabila kerajaan di negeri kelahirannya di Haryana akan memberikan Chopra bonus RM3.38 juta.

Beberapa kerajaan negeri lain menawarkan bonus RM1.7 juta dan syarikat pendidikan utama menjanjikan RM1.14 juta.

Chopra berkata, dia berharap emas Olimpik itu akan menjadi titik penting buat sukan olahraga negaranya.

"Dalam olahraga, saya merasakan kami terlepas pingat bagi tempoh yang agak lama. Jadi pingat emas ini sangat bermakna dan cukup penting," katanya.

"Kini, saya sudah menang dan saya merasakan kami boleh melakukan apa saja."

Chopra berdepan dengan jaguh Jerman, Johannes Vetter yang mencatatkan rejaman terbaik tahun ini sejauh 96.29m menjelang Tokyo 2020, tetapi semalam pencabarnya itu kurang menjadi dan gagal layak ke final membabitkan lapan atlet terbaik.

"Jika rejaman pertama baik, ia akan meningkatkan keyakinan. Percubaan kedua saya juga stabil," katanya selepas rejaman kedua itu membolehkan dia bergelar juara.

"Saya tidak pasti sudah menang emas ketika ini, tetapi saya sedar sudah melakukan remaja terbaik.

"Kita tidak boleh menyangka sudah menang emas ketika dalam kejohanan. Pemikiran begitu memang bahaya dan ada risiko tidak melakukan yang terbaik selepas itu.

"Sekarang saya mahu melepasi jarak 90m secepat mungkin."

Disiarkan pada: August 8, 2021 @ 11:09pm
d