Sukan Lain

Ziyad idam emas sekali lagi

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Atlet lontar peluru paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli kini mula menghitung hari untuk beraksi di Paralimpik Tokyo.

Semangatnya begitu membara dan malah dia sudah tidak sabar untuk beraksi dan melepaskan semua 'geram' yang terbuku selama ini seterusnya menghadiahkan emas buat negara tercinta.

Paralimpik akan membuka tirai penganjurannya pada dari 24 Ogos hingga 5 September ini dengan cabaran negara akan digalas 22 atlet dalam sembilan jenis sukan.

Ziyad berkata, persiapan sudah dilakukan sepanjang tempoh setahun ini dan biarpun tidak berjalan seperti yang diinginkan kerana kekangan pandemik Covid-19, Ziyad berkata, dia tetap akan berusaha untuk berikan terbaik.

"Kini sudah tiba waktu-waktu terakhir dan masa pertandingan untuk ke Tokyo.

"Apa yang boleh saya cakap, persiapan kali ini memang gila-gila dan luar biasa. Tak pernah dikuarantin dan tak boleh ke mana-mana dalam tempoh lebih lima bulan.

"Nak balik rumah pun tak boleh. Saya berdoa semoga semuanya berjalan lancar. Insya-Allah kalau Allah berikan saya kejayaan Alhamdulillah sebab saya janji akan usaha dan beri yang terbaik untuk negara," katanya.

Sementara itu Ziyad berkata, kegagalan mempertahankan emas pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2019 menjadi detik amat bermakna buat dirinya dan mengambil dari sudut positif bahawa dia tidak boleh terlalu selesa dengan apa yang pernah dipegangnya selama ini.

Katanya, kekecewaan itu menjadi pengajaran untuknya supaya tidak terus berasa selesa selepas menikmati pelbagai kejayaan di pentas dunia dengan kemuncaknya memenangi pingat emas Sukan Paralimpik 2016 di Rio.

Sebagai rekod, Malaysia mengambil bahagian pada Sukan Paralimpik sejak 1972 dan mengumpul 11 pingat iaitu tiga emas, dua perak dan enam gangsa.

Disiarkan pada: August 12, 2021 @ 7:05pm
d