Sukan Lain

Risiko hilang pingat perak Olimpik

Oleh AFP

Paris: Pelari pecut Britain, CJ Ujah yang memenangi pingat perak di Olimpik Tokyo dalam acara 4x100 meter (m) digantung kerana dakwaan melanggar peraturan anti-doping, umum Unit Integriti Olahraga (AIU).

Jika kes itu terbukti benar, kemenangan pingat perak yang diraih pelari berusia 27 tahun itu serta pasukan Britain di belakang pemenang pingat emas, Itali di Jepun akan ditarik semula.

AIU berkata, Ujah didapati menggunakan bahan terlarang ostarine dan S-23 iaitu bahan yang biasa digunakan untuk membina otot.

Menerusi status terbaharunya di Instagram, Ujah menulis: "Kekal fokus kerana kebenaran lebih baik daripada fiksyen."

Selain Ujah, pelari acara 1500m dari Bahrain, Sadik Mikhou; atlet lontar peluru Georgia, Benik Abramyan dan pelari Kenya, Mark Otieno Odhiambo sebelum ini turut digantung sementara selepas menjalani ujian, tambah AIU.

"AIU kini menunggu keputusan prosiding Badan Pengujian Antarabangsa (ITA) terhadap atlet berkenaan yang akan menentukan apakah pelanggaran peraturan anti-doping dilakukan dan akibat apa (jika ada) yang harus dikenakan berkaitan dengan Sukan Olimpik," katanya dalam satu kenyataan.

"Segala hukuman di Sukan Olimpik yang akan dikenakan kepada atlet berkenaan akan diputuskan oleh Peraturan Anti Doping Olahraga Sedunia selepas tamatnya prosiding ITA."

Disiarkan pada: August 13, 2021 @ 9:27am
d