Sukan Lain

Siapa bertuah dapat cenderamata Mun Yee

Oleh Hamdan Saaid

Kuala Lumpur: Selepas selesai menjalani kuarantin wajib dua minggu, tiba masanya buat penerjun negara Leong Mun Yee menunaikan janjinya kepada peminat untuk menghadiahkan cenderamata Sukan Olimpik Tokyo.

Mun Yee, yang melakar rekod bertanding kali kelima pada temasya Olimpik di Jepun, menyediakan sekurang-kurangnya tujuh cenderamata untuk diberikan kepada peminat dan pengikutnya di laman Instagram dan Tiktok.

"Hai semua, terima kasih atas sokongan tidak berbelah bagi anda kepada saya selama ini. Di sini barangan cenderamata Olimpik yang akan saya hadiahkan menerusi akaun IG dan Tiktok saya.

"Saya akan memilih secara rawak menerusi setiap komen anda. Pastikan anda turut mengikuti #olympics, #merchandise dan #giveaway," tulisnya dalam hantaran terbaharu di IG.

Antara yang dipamerkan dalam video pendek Tiktok itu adalah tuala, jersi bertulis 'Japan' berwarna putih, rantai kunci serta patung permainan maskot Tokyo 2020, Miraitowa.

Hantarannya itu mendapat lebih 70,000 'view' dan hampir 5,000 komen.

Mun Yee, 36, yang berasal dari Ipoh, mengakhiri kempen terakhir Olimpik buatnya dengan menduduki tangga kelapan bersama Pandelela Rinong dalam acara 10 meter platform seirama wanita pada 27 Julai lalu.

Kejayaan terbaik peribadi penerjun itu, yang bersaing kali pertama di pentas Olimpik pada temasya Sydney 2000, adalah tangga ketujuh dalam acara 10m platform seirama juga bergandingan dengan Pandelela di London 2012.

Disiarkan pada: August 14, 2021 @ 11:57am
d