Sukan Lain

Pemain ragbi negara laku keras

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi pemain negara akan disunting kelab luar berdasarkan prestasi dan kemampuan mereka yang cukup kental ketika berada di atas padang.

Setiausaha Agung KRM Amrul Hazarin Hamidon berkata, ketika ini tiga pemain skuad Bunga Raya iaitu Mohamad Amin Jamaluddin, Noor Alif Ikhmal Noor Hisham dan Samuel Rentap Meran ditawarkan beraksi bersama kelab TV 1834 Pforzheim di Jerman bagi musim 2021/2022.

Beliau berkata, perkara terbabit memberi ruang dan peluang kepada pemain lain untuk mengikut jejak langkah mereka berkelana ke luar negara sekali gus mampu memperkuatkan lagi skuad kebangsaan pada masa akan datang.

Katanya, KRM komited membantu pemain yang mahu berkelana ke luar negara terutama membabitkan individu menerima jemputan daripada kelab tertentu untuk diuji sebelum diserap bersama pasukan.

"Bouncer (nama panggilan Mohamad Amin) dan Alif sudah beraksi di sana sebelum ini tapi mereka terpaksa balik selepas liga terhenti. Ia satu peluang yang bagus untuk terus bermain, dengan keadaan sekarang kita pun tidak tahu bila kejohanan di Malaysia dapat dijalankan.

"Ketika ini, kita cuba menguruskan beberapa perkara membabitkan membabitkan tiga pemain berkenaan yang akan berangkat ke Jerman walaupun terdapat perkhabaran dua daripadanya mungkin terlepas aksi pada awal bulan depan.

"Hal ini kerana dua daripada mereka masih lagi belum lengkap dua dos vaksin dan jika diikutkan sepatutnya diambil pada 19 Ogos ini dan tarikh berlepas pula keesokan harinya," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, KRM mengumumkan tiga pemainnya itu ditawarkan beraksi bersama kelab TV 1834 Pforzheim bagi musim 2021/2022.

Kelab itu turut menamakan ketiga-tiga pemain negara untuk menyertai sesi latihan pramusim selain beberapa siri perlawanan persahabatan sebelum saingan liga bermula.

Amrul Hazarin berkata surat tawaran itu diterima KRM pada 30 Julai lalu dan ia memberi peluang kepada pemain negara untuk terus beraksi dalam tempoh pandemik Covid-19.

Disiarkan pada: August 15, 2021 @ 7:45pm
d