Sukan Lain

Panggang kambing menang perlumbaan

Oleh Hamdan Saaid

Kuala Lumpur: Terkesan dengan komen negatif warganet mengenai pembinaan Velodrom Dungun, dua pelumba profesional negara, Ahmad Haidar Anuawar dan Loh Sea Keong terpanggil untuk berkongsi kenangan manis sewaktu berkelana di Belanda lebih sedekad lalu.

Haidar dan Sea Keong, kedua-duanya kini berusia 35 tahun, ketika itu mewakili pasukan Marco Polo yang didaftar di Hong Kong namun berpangkalan di Eropah dan mereka mesti sekurang-kurangnya berlatih tiga bulan pada setiap musim di Geleen, sebuah pekan kecil Belanda yang bersempadan dengan Jerman dan Belgium.

Sekalipun Haidar dan Sea Keong sebenarnya pelumba lebuh raya, mereka sering kali menyertai perlumbaan trek di velodrom rakyat di Geleen pada hujung minggu dan jika menang, mereka akan meraikannya dengan membeli kambing dan memanggangnya di rumah mereka yang terletak hanya 200 meter dari velodrom itu.

"Demo ingat dok Loh Sea Keong, kita lumba di sini menang duit, lepas itu pergi beli kambing di kedai Turki buat barbeku... imbau sikit memori 2009-2010 dulu," tulis Haidar dalam status di Facebook sambil menyertakan gambar velodrom Geleen.

"Velodrom itu trek untuk semua jenis basikal tidak kira basikal lebuh raya atau trek. Setiap minggu memang ada perlumbaan terbuka untuk lebuh raya dan trek jadi kami pun sertai dengan bayaran masuk 1 euro (hampir RM5).

"Saya difahamkan pembinaan velodrom rakyat ini adalah untuk mengasah bakat baru bertaraf dunia bukan sekadar untuk menjadi penganjur bertaraf dunia.

"Hadiah kemenangan tidaklah besar sangat, cuma bolehlah buat beli kambing, panggang buat makan mewah sikit," kata Haidar yang kini mewakili pasukan Sweet Nice Cycling (SNC).

Haidar menjelaskan perlumbaan itu tidak sama seperti acara trek keirin atau pecut dan ia berlangsung selama sejam pada Sabtu dan Ahad, selalunya bermula jam 7 malam.

"Bagi 45 minit pertama, kelajuan dikawal, maknanya semua kayuh dalam satu kumpulan yang besar. Semua pelumba dapat peluang untuk kayuh di depan, belajar menguasai kelajuan. Ini penting buat pelumba supaya belajar bagaimana hendak mendahului kelompok besar.

"Hanya selepas 45 minit atau 15 minit terakhir barulah kami berlumba dalam erti kata yang sebenar dan tambah 10 pusingan lagi untuk menentukan pemenang," kata Haidar.

Sea Keong, yang kini mewakili pasukan bertaraf benua Thailand Continental Cycling dan tinggal di Chiang Rai, dalam hantaran Facebook juga mendedahkan dia tidak pernah memenangi perlumbaan itu sebaliknya Haidar kerap muncul juara.

"Bayangkan kami duduk 90 hari di sana, dua hari seminggu turun lumba di velodrom belakang rumah. Tiga bulan di sana kami ada 26 race day belum lagi campur lumba kermese, kriterium, lumba UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) di Belanda dan negara jiran Belgium serta Jerman.

"Sudah cukup lama lebih berpuluh-puluh tahun mereka mempunyai fasiliti seperti ini di seluruh negara. Kita memang boleh hidu hadiah kemenangan yang ditawarkan di sana," tulis Sea Keong.

Beberapa hari lalu, warganet heboh memperkatakan mengenai pembinaan Velodrom Dungun di tempat kelahiran jaguh keirin negara, Datuk Azizulhasni Awang yang tidak mengikut spesifikasi UCI dan tidak boleh menganjurkan pertandingan antarabangsa sekali gus dianggap sebagai satu pembaziran.

Disiarkan pada: August 17, 2021 @ 2:52pm
d