Sukan Lain

Landasan tepat raih emas

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Naluri seorang jurulatih cukup kuat berasakan atlet lompat jauh para negara, Abdul Latif Romly mampu menghadirkan kejayaan pada temasya Paralimpik Tokyo 2020.

Begitulah perasaan Shahrul Amri Suhaimi ketika ini, jurulatih yang bertanggungjawab membimbing Latif sejak anak buahnya memenangi pingat emas di Paralimpik Rio lagi dan sudah mempunyai keserasian antara mereka berdua.

Meskipun Latif sudah tidak menyertai pertandingan kompetitif selama setahun, Shahrul percaya prestasi anak buahnya tetap konsisten.

"Kalau diikutkan tahun ini dia langsung tak sertai pertandingan. Tapi daripada sesi latihan simulasi, saya lihat dia berada di landasan tepat kerana apa yang dilakukannya lebih baik berbanding di Rio.

"Cuma sekarang ini kami tidak mahu terlalu yakin kerana perlu juga berhati-hati dengan pihak lawan dan kita tak tahu persediaan mereka. Dia (Latif) pun tak mahu cakap apa-apa. Tapi daripada sesi latihan, saya cukup yakin dia sudah bersedia untuk ke Tokyo," katanya.

Kali terakhir atlet kelahiran Perlis itu beraksi adalah ketika Kejohanan Para Dunia di Dubai pada 2019 yang menyaksikan Latif meraih perak dengan jarak lompatan 7.24 meter (m) dalam kategori T20.

Dia tewas kepada atlet Belanda, Ranki Oberoi dengan lompatan 7.39m untuk emas manakala gangsa milik atlet Ecuador, Roberto Carlos Chala 6.88m.

Dalam usaha untuk mempertahankan emas yang dimenangi lima tahun lalu, Shahrul tidak mahu Latif berasa terlalu tertekan, sebaliknya hanya berharap anak didiknya itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Disiarkan pada: August 18, 2021 @ 9:17pm
d