Sukan Lain

Khidmat Mun Yee masih ditagih

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Penerjun Kebangsaan, Leong Mun Yee mungkin kembali menghangatkan arena sukan renang negara tapi bukan sebagai atlet namun lebih kepada membantu Persekutuan Renang Malaysia (MAS) mencari bakat baharu bagi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Mun Yee, 36, sebelum ini mengumumkan yang dia akan bersara pada hujung tahun ini dengan Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjadi penampilan terakhirnya di pentas antarabangsa.

Setiausaha Kehormat MAS, Mae Chen, berkata kemampuan dan bakat yang dimiliki Mun Yee cukup ditagih bagi membantu badan induk itu yang dalam perancangan untuk menubuhkan akademi terjun negara.

"Saya sudah bercakap dengan Mun Yee mengenai perkara ini dan dia memang sayangkan sukan ini. Dia bersedia untuk bekerja bersama kami dan kami juga sedia memberikan tawaran sepenuh masa kepadanya sebagai pegawai pencarian bakat.

"Kami dalam perancangan untuk menubuhkan akademi yang mana kami akan buka kepada semua untuk menjalani sesi pemilihan. Di sinilah Mun Yee akan memainkan peranannya dengan mengenal pasti bakat-bakat yang boleh diketengahkan.

"Saya fikir ini adalah peluang yang baik untuk Mun Yee. Mungkin pada hujung minggu dia akan berada di akademi manakala Isnin hingga Jumaat dia boleh ke negeri-negeri untuk mencari bakat-bakat baharu," katanya.

Mengikut rekod, penampilan terakhir Mun Yee di pentas Olimpik menyaksikan dia menamatkan saingan di tangga kelapan bersama gandingannya, Pandelela Rinong dalam acara 10 meter (m) platform seirama.

Olimpik Tokyo adalah penampilan kelima Mun Yee di temasya terbesar dunia itu selepas mula beraksi di Sydney 2000, Athens 2004, Beijing 2008 dan London 2012.

Disiarkan pada: August 21, 2021 @ 6:49pm
d