Sukan Lain

Wei Lun cemerlang ke final

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Atlet boccia negara, Chew Wei Lun sudah menjanjikan satu pingat untuk kontinjen negara di Paralimpik Tokyo apabila berjaya melangkah ke pentas final esok.

Wei Lun nyata berada pada prestasi terbaik apabila berjaya mengatasi wakil Portugal, Andre Ramos 9-5 pada aksi separuh akhir hari ini yang berlangsung di Pusat Gimnastik Ariake.

Terdahulu, atlet yang mendapat gelaran 'silent killer' oleh ketua kontinjen negara, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin itu turut cemerlang di suku akhir yang turut berlangsung hari ini apabila menewaskan pemenang pingat perak temasya London 2012, Zhang Qi 4-2.

Dia akan bertemu wakil Britain, David Smith pada pentas final esok.

Smith menempah tiket final selepas menewaskan Jose Carlos Chagas Oliveira dari Brazil 7-4 pada satu lagi aksi separuh akhir.

Atlet negara yang menduduki ranking ke-11 dunia itu nyata tidak mengecewakan pada penampilan pertamanya di Paralimpik apabila cemerlang sejak hari pertama lagi.

Dia mengungguli peringkat Kumpulan B apabila memenangi kesemua empat perlawanan.

Dalam laluannya di peringkat kumpulan, Wei Lun mengejutkan pemain nombor dua dunia yang juga pemenang pingat emas Sukan Para Asia 2018 dari Thailand, Witsanu Huadpradit kemenangan tie-break 1-0, selepas terikat 3-3.

Wei Lun kemudian menang bergaya ke atas pemain kelapan dunia dari Korea Selatan, Jung Sungjoon.

Disiarkan pada: August 31, 2021 @ 6:52pm
d