Sukan Lain

Wei Lun belum fikir belanjakan ganjaran

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Meskipun bakal menerima habuan lumayan, atlet boccia negara, Chew Wei Lun yang memenangi pingat perak di Paralimpik Tokyo mengakui masih belum memikirkan apa yang mahu dibelanjakan dengan ganjaran itu.

"Setakat ini tak tahu lagi, sebab belum dapat betul-betul lagi kan, jadi memang tak tahu lagi," katanya yang mendapat gelaran 'silent killer' oleh ketua kontinjen negara, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.

Kejayaan memenangi perak menyaksikan Wei Lun layak menerima imbuhan RM300,000 dan pencen RM3,000 sebulan di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) selain imbuhan tambahan bernilai RM50,000 daripada FWD Takaful Berhad.

Pada aksi final semalam, Wei Lun yang konsisten sepanjang penampilan pertamanya di Paralimpik Tokyo, tewas 2-4 kepada jaguh dari Britain yang menduduki ranking pertama dunia, David Smith.

Wei Lun yang menduduki ranking ke-11 dunia mengakui tidak pernah menjangkakan mampu melangkah ke final apatah lagi memenangi pingat perak.

"Sebenarnya tujuan saya datang ke sini adalah untuk mempromosikan sukan boccia kepada rakyat Malaysia tetapi tak sangka dapat menang pingat dan mara ke final. Pada aksi final itu saya cuma buat yang terbaik sahaja.

"Saya rasa dengan kejayaan ini, orang ramai terutamanya di Malaysia sudah tahu serba sedikit mengenai sukan ini sebab sebelum itu rasanya mereka tak tahu langsung," katanya.

Ditanya adakah dia bersedia untuk tampil lebih baik pada Paralimpik Paris 2024, Wei Lun mengakui masih belum memikirkan perkara itu lagi.

Disiarkan pada: September 2, 2021 @ 5:29pm
d