Sukan Lain

Pandelela tayang rambut baharu

Oleh Hamdan Saaid

Kuala Lumpur: "Bulan baharu, rambut baharu," ringkas saja status penerjun berpengalaman negara, Pandelela Rinong dalam laman Instagram miliknya.

Penerjun berusia 28 tahun itu menayang gaya rambut baharunya yang dipotong hingga ke bahu kepada peminat dan pengikut di media sosial dengan nukilan tambahan: "Bagaimanapun, ini peluang baharu untuk mencipta lebih keseronokan dan kenangan indah."

Rata-rata peminatnya memberi reaksi positif apabila memujinya dengan komen "Cantik, lawa, comel, menawan, ayu" manakala @kimyismail bertanya "Awek Korea mana ni?".

Pandelela jarang sekali memuat naik status panjang lebar dalam hantarannya kecuali minggu lalu apabila dia melahirkan rasa kerinduan yang amat sangat kepada Hartini Lamim sempena hari jadi ibunya itu.

"Terlalu berharap saya boleh kembali ke Kuching saat ini tapi saya tidak mampu melalui kuarantin selama dua minggu lagi. Foto ini diambil tahun lalu, ketika semuanya masih normal.

"Sudah 15 tahun berturut-turut tidak berada di sana untuk meraikan hari jadinya. Apa pun, selamat hari jadi ibu, kekal sihat seperti selalu," tulisnya.

Ibunya Hartini dan bapanya Pamg Joheng berkesempatan menyaksikan anak perempuan mereka beraksi pada temasya Olimpik Rio 2016 ketika bersaing dalam acara saringan dan akhir 10 meter platform wanita individu.

Pandelela mengakhiri kempen di tangga ke-11 ketika itu selepas sebelumnya meraih pingat perak dalam acara 10m platform seirama bersama Cheong Jun Hoong.

Pada temasya London 2012, dia merangkul pingat gangsa dalam acara 10m platform individu namun pada temasya Tokyo 2020 baru-baru ini, Pandelela gagal bertindak cemerlang apabila menduduki tangga ke-12 bagi acara individu dan kelapan bagi acara seirama bersama Leong Mun Yee.

Disiarkan pada: September 3, 2021 @ 5:27pm
d