Sukan Lain

Dek Wan kecewa hampakan rakyat Malaysia

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Bukan saja trek dalam keadaan licin namun sebenarnya kasut dipakai atlet olahraga para negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi turut basah berikutan menjalani sesi latihan dalam keadaan hujan sebelum bermulanya final acara 100m T36 di temasya Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo.

Situasi terbabit dikongsi ketua jurulatih para negara, R Jaganathan yang melihat Mohamad Ridzuan berlari menggunakan kasut yang sama tanpa menukarnya sekali gus menjejaskan momentum larian pelari itu.

Jaganathan berkata, Mohamad Ridzuan sedih dan kecewa dengan keputusan terbabit bukan kerana tidak berjaya mengekalkan pingat emas lima tahun lalu namun lebih kepada catatan masa 12.15 saat yang dianggap terburuk sejak 10 tahun lalu.

"Saya mewakili Dek Wan meminta maaf kerana menghampakan rakyat Malaysia yang mengharapkan pelari itu dapat membawa pulang pingat untuk negara.

"Dek Wan datang kepada saya dalam keadaan menangis kerana catatan masa 12.15 saat dilakukannya itu seperti pada Sukan Sea 10 tahun lalu sekali gus kecewa tidak dapat mengekalkan momentum larian seperti pada acara saringan semalam.

"Dia memberitahu saya, selepas larian 50 meter, kasutnya seperti mahu tertanggal kerana basah dan ditambah pula trek licin sekali gus terpaksa memperlahankan larian," katanya, ketika dihubungi.

Terdahulu, Dek Wan meraih tempat keempat ada final acara 100m T36 di temasya Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo, pagi tadi.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Dek Wan gagal untuk mengekalkan pingat emas yang dimenanginya pada temasya sama di Rio 2016.

Peserta dari China Deng Pei Cheng berjaya menamatkan perlumbaan di tempat pertama menerusi catatan masa 11.85 saat manakala James Turner memenangi perak dengan merekodkan 12 saat.

Pingat gangsa pula milik peserta dari Argentina Alexis Sebastian Chavez dengan catatan masa 12.02 saat.

Mengikut rekod, Mohamad Ridzuan mencipta sejarah apabila menyumbang pingat emas pertama negara dalam Sukan Paralimpik, menerusi acara 100m T36 lelaki di Rio 2016 dan mencatat masa 12.07 saat, sekali gus memadam rekod Paralimpik terdahulu milik Roman Pavlyk dari Ukraine iaitu 12.25s, di Beijing 2008.

Disiarkan pada: September 4, 2021 @ 8:29pm
d