Sukan Lain

MSN, Yakeb sedia bantu bekas atlet

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) sudah melakukan beberapa usaha untuk membantu bekas atlet para negara, Mohd Raduan Emeari yang tular di media sosial apabila kini bekerja di sebuah stesen minyak dekat Kuala Selangor sebaik bersara.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, Raduan adalah bekas atlet para olahraga yang mula mewakili negara pada tahun 2005 di temasya Sukan Para Asean Filipina, Korat 2007, Sukan Para Asean Solo Indonesia 2011, Sukan Para Asean Naypyitaw 2013, Singapura 2015 terakhir Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017.

Jelasnya lagi, Raduan juga pernah menyertai Sukan Para Asia di Guangzhou, China 2010 dan Sukan Para Asia Incheon Korea 2014 selain pernah menyertai Sukan Paralimpik Beijing 2008.

"Beliau mula terlibat di dalam program MSN secara separuh masa pada tahun 2007 dengan kadar elaun bulanan sebanyak RM500 sebelum diserap sebagai atlet sepenuh masa mulai tahun 2009 dengan elaun berjumlah antara RM1,500 sehingga RM2,500 sebulan bergantung kepada pencapaian prestasi semasa di temasya sukan sehingga tahun 2015.

"Bermula 2016, Raduan ditawarkan kemasukan ke Program Podium di bawah seliaan Institut Sukan Negara (ISN) dengan elaun berjumlah RM4,500 sebulan sehingga beliau tidak lagi berada di dalam program atas faktor prestasi pada penghujung 2017," katanya.

Jelas Ahmad, selepas digugurkan dari Program Podium, beliau tidak menyertai mana-mana kejohanan lagi kerana ingin memberi fokus kepada keluarga memandangkan mempunyai isteri dan seorang anak.

"MSN menawarkan beliau untuk bekerja di MSN bagi membantu pasukan para olahraga tetapi ditolak atas komitmen beliau kepada keluarga.

"Beliau dilantik sebagai penggerak sukan para olahraga bermula pada tahun 2020 sehingga kini dengan bayaran sebanyak RM350 setiap bulan bagi membantu MSN mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan para olahraga di negeri Selangor.

"Pihak MSN yang berhubung rapat dengan pihak Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) sentiasa terbuka untuk berjumpa dengan bekas atlet bagi sebarang bantuan yang ingin dipohon dalam lingkungan kemampuan MSN.

"Pihak KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan MSN melalui pihak Yakeb akan terus bersikap positif membuka ruang dan peluang terbaik yang boleh kami ketengahkan bersama pemegang taruh lain bagi terus membantu bekas atlet negara untuk meneruskan kelangsungan hidup selepas bersara," katanya.

Disiarkan pada: September 7, 2021 @ 7:54pm
d