Sukan Lain

Medvedev, Leylah mara ke separuh akhir

Oleh AFP

New York: Daniil Medvedev mara ke separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS) tiga berturut-turut, manakala pemain Kanada berusia 19 tahun, Leylah Fernandez sekali lagi melakar kejutan untuk menempah slot empat terakhir Grand Slam buat kali pertama.

Pilihan kedua dari Russia itu, yang memburu gelaran Grand Slam pertama, berjaya mengetepikan pemain ranking ke-117, Botic Van De Zandschulp dengan mencatat kemenangan 6-3, 6-0, 4-6, 7-5 di Stadium Arthur Ashe.

"Saya hanya mahu melakukan yang terbaik berbanding dua kejohanan sebelum ini dan melangkah setapak lagi, di mana ia adalah cabaran paling getir," kata Medvedev.

Pemain berusia 25 tahun dari Moscow itu muncul naib juara pada 2019 dan tumpas dalam perlawanan akhir Terbuka Australia tahun ini kepada pemain ranking nombor satu dunia, Novak Djokovic.

"Saya tidak memikirkan mengenainya, kerana apa yang kami lihat sesiapa saja boleh mengalahkan mana-mana pemain. Jika dia mara ke final dan saya juga turut mengekorinya, saya gembira. Dia juga akan gembira saya rasa," kata Medvedev.

Leylah, yang sebelum ini mengetepikan penyandang juara, Naomi Osaka dan juara Grand Slam tiga kali, Angelique Kerber, mara selepas mengalahkan pilihan kelima dari Ukraine, Elina Svitolina 6-3, 3-6, 7-6 (7/5).

"Saya yakin dengan pukulan saya. Jika saya kalah, saya harus terus mempercayai diri sendiri tapi saya gembira berjaya mara," katanya.

Dia yang menduduki ranking ke-73 dunia, mendapat inspirasi dari strategi sebelum perlawanan oleh bapanya yang juga merangkap jurulatih, Jorge Fernandez iaitu bekas pemain bola sepak Ecuador.

"Dia memberitahu saya turun dan menikmati perlawanan, bersaing untuk setiap mata. Ia adalah perlawanan suku akhir Grand Slam pertama saya. Dia tidak mahu ia adalah aksi terakhir dan gapai cita-cita," kata Leylah

Medvedev akan berdepan pilihan ke-12 dari Kanada, Felix Auger Aliassime, 21, yang mara ke separuh akhir Grand Slam buat kali pertama selepas meraih kemenangan percuma apabila lawannya, Carlos Alcaraz menarik diri ketika di kedudukan 6-3, 3-1.

Leylah pula akan berdepan pilihan kedua dari Belarus, Aryna Sabalenka yang mengalahkan pilihan kelapan, Barbora Krejcikova 6-1, 6-4.

Disiarkan pada: September 8, 2021 @ 11:41am
d