Sukan Lain

Selepas terjun, Dhabitah sertai larian pula

Oleh Hamdan Saaid

Kuala Lumpur: Jika anda berada di Lembah Klang, anda boleh menjadi rakan sepasukan penerjun negara Nur Dhabitah Sabri dalam Team Sentral bagi Larian Coway 2021 yang dilangsungkan di seluruh negara selama sebulan bermula esok.

"Mahu mencari sesuatu yang menarik, menyeronokkan dan bermakna buat anda? Sertailah Larian Coway 2021 bersama saya," kata Dhabitah dalam laman Instagram miliknya.

"Tema tahun ini adalah berlari untuk wilayah anda. Saya tinggal di Selangor jadi saya mewakili Team Sentral. Bagi sesiapa yang tinggal di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor anda boleh menyertai larian ini dengan mendaftar secepat mungkin dengan membeli tiket penyertaan. Ia larian antara wilayah secara maya pertama kali diadakan," katanya.

Larian Coway, yang kali pertama diadakan pada 2017, menyasarkan jarak 200,000 kilometer secara kolektif. Apabila peserta mencapai angka itu, Coway Malaysia akan menyumbang sejumlah RM200,000 kepada tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) EcoKnights, Mercy Malaysia dan Reef Check Malaysia.

Selain Team Sentral, pasukan yang bertanding termasuk Team Utara (Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak), Team Selatan (Johor, Negeri Sembilan dan Melaka), Team Pantai Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) serta Team Borneo (Sabah dan Sarawak).

Dhabitah, yang bertanding pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 baru-baru ini berkata, bagi setiap tiket yang dibeli, penaja juga menyumbang RM10 kepada Happy Water Project, inisiatif tanggungjawab sosial korporat untuk membekalkan air bersih kepada masyarakat Orang Asli yang memerlukan di seluruh negara.

Bermula esok hingga 23 Oktober, larian selama sebulan itu membolehkan peserta berlari di mana sahaja dan pada bila-bila masa selagi mereka terus bersemangat untuk mencatatkan jarak dalam kilometer menggunakan aplikasi Strava.

Pasukan dengan jarak purata tertinggi dari setiap orang akan dinobat sebagai juara keseluruhan. Pertandingan antara wilayah itu memberi peluang terbaik kepada pelari menunjukkan semangat kesukanan dan keupayaan mereka mewakili negeri dan wilayah masing-masing sambil bersama-sama berkongsi pengalaman larian dengan peserta dari seluruh negara.

Sementara peserta boleh memilih untuk berlari di mana sahaja, mereka juga akan mendapat akses untuk peta "secara langsung" laluan mereka yang akan memaparkan perkembangan mereka secara visual. Di samping itu, pelari juga boleh mengumpulkan lencana pencapaian maya bagi setiap jarak 5km yang dicapai.

Larian itu terbuka kepada semua warganegara Malaysia atau pemastautin berusia 16 tahun ke atas dan peserta mesti mendaftar secara atas talian di laman web Coway Run 2021 sebelum 23 Oktober. Setiap peserta akan menerima kit larian Coway Run bernilai lebih RM300.

Disiarkan pada: September 22, 2021 @ 8:57pm
d