Sukan Lain

Legenda All Blacks latih skuad ragbi negara

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Kepakaran legenda All Blacks, Rodney So'oialo ditagih Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) apabila melantik bekas kapten New Zealand itu sebagai ketua jurulatih pasukan ragbi 15 sebelah kebangsaan menggantikan Bradley Moni Mika.

So'oialo mempunyai reputasi gah bersama skuad kebangsaan 15 sebelah New Zealand apabila membuat penampilan sebanyak 62 kali dan mengetuai All Blacks antara tahun 2002 sehingga 2009.

Antara pencapaian terbesarnya adalah muncul juara Kejohanan Ragbi Piala Dunia 7 sebelah pada 2001 dan memenangi pingat emas di Sukan Komanwel 2002 selain beraksi di pentas Piala Dunia 15 sebelah pada 2003 dan 2007.

Beliau akan menggalas tanggungjawab mempersiapkan pasukan menghadapi kempen Kejohanan Ragbi Asia 2021 membabitkan pasukan negara negara pada 28 Januari 2022 menentang Hong Kong dan 1 Februari 2022 bertemu Korea Selatan.

Keputusan lantikan jawatan ketua jurulatih itu diputuskan oleh Exco KRM selepas pihak Lembaga Kejurulatihan KRM membuat penilaian ke atas beberapa calon yang disenarai pendek.

Bagi So'oialo, ia adalah satu peluang yang hebat dapat menjadi ketua jurulatih skuad 15 sebelah negara selepas menimba banyak pengalaman selaku pemain dan jurulatih.

"Ia adalah peluang terbaik untuk saya mencurahkan segala pengalaman selama ini. Apapun pertama sekali saya perlu pastikan dapat memahami situasi di dalam pasukan dan memastikan semua pemain mempunyai matlamat yang sama," katanya pada sidang media secara dalam talian hari ini.

So'oialo juga sedar cabaran yang bakal dilaluinya untuk memastikan skuad kebangsaan meraih pencapaian terbaik di Kejohanan Ragbi Asia 2021.

"Ia pasti tugas yang mencabar tetapi saya yakin dengan disiplin tinggi yang dipamerkan oleh barisan pemain Malaysia, kita boleh memperoleh keputusan positif," katanya.

So'oialo yang ketika ini menggalas tugas sebagai jurulatih dalam program kejurulatihan di Trinity College, Sri Lanka, di jangka akan tiba di negara ini pada 31 Oktober depan.

Disiarkan pada: September 23, 2021 @ 2:41pm
d