Sukan Lain

Harrif intai peluang beraksi lebih banyak perlumbaan

Oleh Hamdan Saaid

Kuala Lumpur: Pelumba basikal profesional negara Mohd Harrif Saleh mengintai peluang untuk bertanding lebih banyak kejohanan tahun depan selepas wabak Covid-19 mengehadkan penyertaannya sejak tahun lalu.

Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) berusia 33 tahun itu hanya menyertai tiga kejohanan di luar negara tahun ini dan dua kejohanan pada 2020 ketika penularan Covid-19 turut menyaksikan perlumbaan terulung negara ini Le Tour de Langkawi dibatalkan.

"Saya harap tahun depan saya dapat banyak peluang untuk bertanding sama ada di dalam mahupun luar negara. Harapnya dengan lebih ramai sudah melengkapkan pengambilan dua dos vaksin, kita boleh menyaksikan semula kehangatan perlumbaan terulung di negara ini LTdL," katanya yang menyambung kontrak setahun bersama pasukan dari Terengganu itu awal minggu ini.

Harrif melakar sejarah pada hujung Februari lalu apabila muncul pelumba pertama negara memenangi perlumbaan sehari pada kejohanan diiktiraf Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Eropah dengan mengungguli Grand Prix Velo Manavgat di Turki.

Dia turut menyertai dua lagi perlumbaan di Turki, menduduki tangga keempat pada perlumbaan sehari Grand Prix Mediterranean Mac lalu selain membantu TSG menduduki tangga kelima pada Tour of Mevlana awal April lalu.

"Saya amat berharap keadaan semakin baik tahun depan jadi kami tidak hanya berlatih setiap hari tetapi dapat juga menyertai perlumbaan kerana sebagai pelumba profesional, menjadi tugas kami meraih kejayaan buat pasukan selain menimba lebih banyak pengalaman.

"Dengan pembukaan lebih banyak sektor di negara ini dan kebenaran merentas negeri, saya yakin LTdL boleh kembali dianjurkan selepas tidak diadakan tahun ini kerana kebimbangan terhadap Covid-19," kata Harrif yang biasanya menyertai sekurang-kurangnya enam atau tujuh perlumbaan setahun.

LTdL amat bermakna buat pembalap sepeda berasal dari Dungun itu yang muncul peserta pertama dari Asia memenangi tiga peringkat dalam sejarah 25 tahun perlumbaan berprestij itu.

Dia mengungguli peringkat kedua dari Senawang ke Melaka pada 2019 dan dua peringkat pada 2020 (peringkat kelima dari Kuala Kubu Baru ke Ipoh dan peringkat ketujuh dari Bagan ke Alor Setar).

Sebagai rekod, Harrif yang dilahirkan di Miri, Sarawak kekal setia bersama TSG sejak pasukan bertaraf benua UCI itu ditubuhkan pada 2011.

Disiarkan pada: September 25, 2021 @ 12:54pm
d