Sukan Lain

Ghirmay kebanggaan benua Afrika

Oleh AFP

Leuven: Pada hari yang sama Rwanda disahkan akan menjadi negara Afrika pertama tuan rumah Kejohanan Berbasikal Dunia, pelumba Eritrea, Biniam Ghirmay mencipta satu lagi sejarah untuk benua berkenaan apabila menjadi pelumba kulit hitam Afrika pertama meraih pingat di kejohanan berusia 100 tahun itu.

Pelumba Itali, Filippo Baroncini memenangi perlumbaan lebuh raya bawah 23 tahun hasil daripada pemecahan solo namun dia diekori oleh pelumba yang sedang meningkat naik, Ghirmay.

Ghirmay berjaya meluru terlebih dulu ke depan untuk memenangi perak walaupun berada dalam kelompok besar yang dibarisi 30 pelumba.

Dengan memakai jersi berwarna biru awan dan berseluar merah, dia berjaya mencari ruang selepas dibantu pasukannya ketika menuju ke garisan penamat.

"Kemenangan ini adalah untuk saya sendiri, negara saya dan juga Afrika, ia sangat memberi makna. Saya gembira. Saya gembira dapat membanggakan negara saya. Ini untuk semua rakyat Eritrea dan juga Afrika," kata Ghirmay.

Pelumba berusia 21 tahun itu yang lahir dari produk Pusat Berbasikal Dunia di Switzerland, adalah pelumba kulit hitam Afrika pertama memenangi pingat dalam mana-mana kejohanan sepanjang sejarah 100 tahun perlumbaan lebuh raya Kejohanan Dunia.

Dia beraksi bersama pasukan berstatus World Tour, Intermarche-Wanty-Gaubert dan berjaya memenangi perlumbaan pertama di Klasik Classic Grand Besancon Doubs bulan ini.

Afrika akan menjadi tuan rumah kejohanan dunia itu buat kali pertama pada 2025, selepas ia disahkan oleh Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI).

Disiarkan pada: September 25, 2021 @ 1:36pm
d