Sukan Lain

Tugas berat menanti So'oialo

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Ada gunung yang tinggi perlu didaki pengendali baru skuad ragbi kebangsaan 15 sebelah negara, Rodney So'oialo apabila beliau memulakan tugas nanti dalam mempersiapkan pasukan menghadapi kempen Kejohanan Ragbi Asia 2021.

Perkara itu diakui oleh pemerhati dan pengulas sukan ragbi, Syed Mohd Latif Syed Abdul Rahim, bahawa legenda All Blacks berkenaan perlu mengambil masa dalam membentuk skuad mantap.

"Pada pendapat saya sendiri, kalau kita letak mana-mana jurulatih yang terbaik di dalam dunia pun sukar untuk kita melihat peningkatan dalam masa singkat. Ia berbeza dengan Bradley Mika yang sudah lama mengenali pemain dan sistem di Malaysia," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Syed Mohd Latif berkata, jika beliau sendiri diberi pilihan untuk memilih jurulatih, Mika harus dikekalkan walaupun So'oialo mempunyai penampilan lebih banyak di peringkat antarabangsa.

"Kalau kita bercakap soal pengalaman berguru dengan jurulatih ternama, Brad pernah mendapat bimbingan legenda dan pengendali ragbi terkemuka Australia, Rob Penney serta beberapa lagi jurulatih bertaraf dunia yang lain.

"Bukan kita tidak akan belajar sesuatu dari So'oialo tapi beliau mempunyai gunung yang tinggi untuk didaki. Setiap jurulatih mempunyai cara dan sistem tersendiri. Bagi saya beliau perlu bermula dari kosong, kerana tidak tahu sistem di Malaysia dan belum mengenali pemain," katanya.

Ujar Syed Mohd Latif, So'oialo perlu mencotohi Mika, di mana pemain berasa selesa dan sangat menghormati kredibilitinya sebagai jurulatih sepanjang membimbing skuad negara.

"Ketika Mika menjadi jurulatih, pemain mahu bermain untuk Mika. Jadi sekarang ini So'oialo juga perlu mewujudkan suasana seperti itu di mana pemain bermain untuk jurulatih mereka. Beliau perlu menjadi suri teladan yang bagus," katanya.

So'oialo mempunyai reputasi gah bersama skuad kebangsaan 15 sebelah New Zealand apabila membuat penampilan sebanyak 62 kali dan mengetuai All Blacks antara tahun 2002 sehingga 2009.

Beliau akan menggalas tanggungjawab mempersiapkan pasukan menghadapi kempen Kejohanan Ragbi Asia 2021 membabitkan pasukan negara negara pada 28 Januari 2022 menentang Hong Kong dan 1 Februari 2022 bertemu Korea Selatan.

Disiarkan pada: September 26, 2021 @ 9:00pm
d