Sukan Lain

'Goldenboy' sedia lakar kejutan di Jakarta

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Selepas tertangguh berikutan pandemik Covid-19, petinju profesional negara, Adli Hafidz Mohd Pauzi kini sudah bersedia untuk mencipta kejutan dalam perebutan Kejuaraan UBO Inter-Continental 2021, yang akan berlangsung di Jakarta, Indonesia, Selasa depan.

Bekas pemenang pingat perak kategori light heavyweight 81 kilogram (kg) pada Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur, berkata kejohanan itu sepatutnya dilangsungkan pada 21 Ogos lalu tetapi ditunda pada 5 Oktober ini.

Petinju yang bergelar 'Goldenboy' ini bakal berhadapan pencabar terkuat dari tuan rumah, Robert Kopa dengan rekod 14-9-0 bagi merebut kejuaraan berkenaan.

"Saya sudah berada di Jakarta dan kini sedang menjalani kuarantin selama lapan hari sebelum turun menentang Robert Kopa.

"Dia dianggap pencabar terkuat pada kejuaraan itu yang tertangguh akibat Covid-19.

"Saya sudah membuat persiapan begitu rapi bagi menghadapi kejohanan ini walaupun terdapat kekangan akibat Covid-19 dan merasakan mempunyai peluang untuk melakukan persembahan terbaik," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Adli Hafidz, kategori baharu yang disertainya iaitu middleweight 72.6 kg berbanding dalam kelas super 76.2 kg, diharap dapat memberikan kelebihan kepadanya untuk mencipta kejutan.

Bekas juara WBC Asia Silver dan WBA Asia South itu berkata, dia perlu menang pertarungan itu nanti bagi mengumpul mata dan peluang beraksi pada Kejuaraan Dunia Pertubuhan Tinju Antarabangsa (UBO) yang akan diadakan tahun hadapan.

"Memang fokus saya untuk melepasi halangan Robert Kopa bagi merebut peluang bersaing di kejuaraan dunia akan datang.

"Justeru, saya perlu memastikan keupayaan mendominasi gelanggang dan seterusnya menewaskan Robert.

"Namun begitu saya menjangkakan pertarungan itu nanti sengit kerana Robert juga memiliki pengalaman di pentas antarabangsa," katanya yang bertugas sebagai penguasa kastam di Menara Kastam Johor Bahru.

Disiarkan pada: September 30, 2021 @ 4:45pm
d