Sukan Lain

Fadhil sasar bawah satu minit

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis jelas semakin ghairah untuk memahat namanya di peringkat antarabangsa dan misi terkini ialah di Kejohanan Dunia di Roubaix, Perancis pada 20 hingga 24 Oktober ini.

Sasaran kali ini buat pelumba berusia 23 tahun itu ialah cuba memecahkan rekod kebangsaan yang dipegangnya dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa dengan melakukan catatan bawah satu minit.

Fadhil adalah pemegang rekod kebangsaan acara berkenaan dengan catatan 1 minit 00.305 saat (s) ketika melakukannya di Kejohanan Dunia di Berlin tahun lalu.

"Jika saya boleh buat bawah satu minit, kemungkinan besar ada peluang untuk memenangi pingat pada Kejohanan Dunia kali ini," kata pelumba kelahiran Selangor itu.

Ujarnya, misi itu bukan hanya menjadi impiannya tapi turut ditagih oleh jurulatih (John Beasley).

"Setakat ini persiapan semua berjalan dengan lancar dan saya memang sudah bersedia untuk beraksi," katanya yang berada di ranking keempat dunia dalam acara 1km ujian masa.

Fadhil muncul antara pelumba muda negara yang sedang meningkat naik apabila mempamerkan aksi cemerlang ketika beraksi di Kejohanan Berbasikal Piala Negara-Negara UCI di Hong Kong, Mei lalu.

Ketika itu dia berjaya memenangi emas dalam acara keirin dan perak bagi acara 1km ujian masa individu.

Cabaran Malaysia di Kejohanan Dunia kali ini turut akan digalas seorang lagi pelumba, Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Tiada kelibat jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang pada kejohanan kali ini apabila dia memutuskan untuk tidak menyertainya selepas memenangi perak di Sukan Olimpik Tokyo 2020, Ogos lalu.

Fadhil dan Shah Firdaus dijadual berangkat ke Roubaix pada 10 Oktober ini.

Disiarkan pada: September 30, 2021 @ 10:57pm
d