Sukan Lain

Fadhil mampu atasi rekod - Harnizam

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Misi pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis untuk menggegarkan Velodrom Couvert Regional Jean Stablinski di Roubaix, Perancis bukanlah satu yang mustahil.

Perkara itu disuarakan oleh penolong jurulatih berbasikal trek negara, Harnizam Basri yang yakin bahawa Fadhil mampu menjelmakan sesuatu dalam acara satu kilometer (km) ujian masa di Kejohanan Dunia berikutan usaha keras selama ini.

"Saya rasa dia mampu untuk memecahkan rekod peribadinya yang juga rekod kebangsaan. Sasaran utama kita adalah untuk mencatat 59 saat (s) ke bawah," katanya yang juga bekas pelumba berbasikal negara.

Ujar Harnizam, Fadhil sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam latihan dan perkara itu mampu untuk merealisasikan sasaran berkenaan walaupun bakal dicabar pelumba lain.

"Apa yang membuatkan dia boleh mencapai setiap sasaran yang ditetapkan ialah bergantung kepada dua perkara iaitu gaya hidupnya dan komitmen di dalam latihan," katanya.

Semalam Fadhil berkata, fokus utamanya adalah untuk memecahkan rekod kebangsaan catatan 1:00.305s ketika melakukannya di Kejohanan Dunia Berlin tahun lalu.

Jika berjaya merealisasikan impian berkenaan tidak mustahil dia akan menghadiahkan sebutir pingat buat negara dalam acara itu selepas kali terakhir dilakukan oleh bekas pelumba kebangsaan, Rizal Tisin yang memenangi gangsa pada 2009 di Pruszkow, Poland.

Tahun lalu di Berlin, Fadhil berjaya melayakkan diri ke final selepas mencatat masa 1:00.305s di peringkat kelayakan dan menduduki tempat kelapan dengan catatan 1:00.895s.

Fadhil yang muncul antara pelumba muda negara yang sedang meningkat naik cemerlang ketika beraksi di Kejohanan Berbasikal Piala Negara-Negara UCI di Hong Kong, Mei lalu, apabila berjaya memenangi emas dalam acara keirin dan perak bagi acara 1km ujian masa individu.

Cabaran Malaysia di Kejohanan Dunia kali ini turut akan digalas seorang lagi pelumba, Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Disiarkan pada: October 1, 2021 @ 7:22pm
d