Sukan Lain

Ziyad idam bimbing atlet pelapis negara

Oleh Hamdan Saaid

Kuala Lumpur: Jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli mendedahkan impiannya untuk meneruskan sumbangan sebagai jurulatih suatu hari nanti selepas karier olahraganya berakhir.

Semuanya gara-gara pertemuan tidak disangka-sangka dengan dua legenda badminton negara Datuk Misbun Sidek dan Datuk Jalani Sidek pada majlis sambutan Hari Sukan Negara 2021 Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) di Putrajaya, Sabtu lalu.

"Pada Hari Sukan Negara tak sangka dapat jumpa dengan jurulatih Datuk Misbun dan Datuk Jalani. Rasa diri ini kecil saja biarpun badan saya ini besar tapi tetap rasa masih kecil.

"Kedua-duanya menjadi idola ramai. Saya dibesarkan dengan cerita kartun Anak-anak Sidek. Tak sangka hari ini saya dapat bergambar bersama orang yang hebat," tulisnya dalam hantaran terbaharu di laman sosial.

"Saya pun punya impian mahu menjadi macam mereka. Biarpun sudah tidak menjadi atlet masih boleh mengharumkan nama Malaysia menerusi kerjaya sebagai jurulatih.

"Pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 baru-baru ini, Ziyad bertemu seorang lagi keluarga Sidek, Datuk Rashid Sidek yang melatih Cheah Liek Hou hingga muncul pemenang pingat emas perseorangan lelaki kelas SU5.

Ziyad, 31, yang gagal mempertahankan pingat emas lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran) pada Paralimpik Tokyo 2020 selepas kemenangannya dibatalkan, melahirkan rasa terharu apabila diberi kesempatan meraikan Hari Sukan Negara di Miti.

"Alhamdulillah, masih diberi kesempatan untuk meraikan Hari Sukan Negara tahun ini. Terima kasih kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri @mitimalaysia kerana menjemput saya sebagai tetamu," katanya.

Ziyad berdepan kontroversi di Tokyo 2020 apabila didakwa lewat memasuki bilik menunggu namun dibenarkan bertanding dalam protes.

Sekalipun mengungguli acaranya dengan catatan rekod dunia 17.94 meter, kemenangannya dibatalkan apabila kem Ukraine membuat bantahan sekali gus menyaksikan keputusannya itu dibatalkan penganjur dan pulang ke tanah air tanpa sebarang pingat buat kali pertama.

Disiarkan pada: October 11, 2021 @ 5:49pm
d