Sukan Lain

Ziyad harap sinar di sebalik isu Paralimpik Tokyo

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli sememangnya sudah redha dengan apa yang terjadi ketika temasya Paralimpik Tokyo yang lalu namun dia berharap akan ada sedikit sinar selepas tamatnya siasatan membabitkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman nanti.

Kata bekas pemegang rekod dunia itu, dia cukup berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan kerana prihatin dan membantu menyiasat kes yang membabitkan dirinya itu.

"Sebenarnya saya sudah redha dengan apa yang berlaku. Tapi dengan adanya siasatan ini saya mengharapkan adalah sedikit pembelaan ke atas diri saya.

"Sekurang-kurangnya rekod yang dilakukan saya itu (17.94 meter) itu akan diiktiraf dan itu pun sudah buat saya rasa bangga," katanya.

Terdahulu Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) juga Ketua Kontinjen Paralimpik Tokyo 2020, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata bukti utama kes Ziyad akan didedahkan oleh Setiausaha Agung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk R Subramaniam kepada panel Jawatankuasa Siasatan Dalaman hari ini.

Justeru Ziyad mengharapkan bukti itu akan memihak kepadanya dan rekodnya itu akan diiktiraf sebagai rekod dunia.

Begitupun Ziyad berkata, biar apapun yang terjadi dia tetap akan berpegang pada janjinya untuk terus mengorak langkah mencipta rekod baru dunia di Kejohanan Olahraga Para Dunia di Kobe, Jepun pada 26 Ogos hingga 4 September 2022 tahun depan.

Dia tetap akan berusaha ke arah itu dan usia tidak akan menjadi penghalang bagi dirinya dan semua itu sudah dibuktikan ketika di Tokyo.

Namun dia terlepas emas dan rekod dunia yang dilakukannya dengan catatan 17.94m selepas penyertaannya diklasifikasikan sebagai DNS (tidak bermula) susulan protes yang dilakukan Ukraine disebabkan kelewatannya tiba di bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.

Disiarkan pada: October 12, 2021 @ 6:50pm
d