Sukan Lain

Beasley mahu Shah, Fadhil beri aksi mantap

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Barisan pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis bakal mengibarkan cabaran negara di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia tanpa kehadiran jurulatih, John Beasley.

Namun jurulatih kelahiran Australia itu yakin, mereka mampu untuk memberikan yang terbaik di kejohanan itu dan tahu apa yang perlu dilakukan apabila turun beraksi nanti. Begitupun tempat Beasley akan diganti penolong jurulatih Harnizam Basri.

Beasley dalam satu hantarannya di laman sosialnya mahukan kedua-dua anak didiknya itu menikmati perlumbaan sepenuhnya dan belajar sesuatu di kejohanan yang akan berlangsung dari 20 hingga 24 Oktober itu.

Kata Beasley, semua itu adalah proses pembelajaran buat kedua pelumba negara dan menasihatkan mereka untuk memberikan segala-galanya apabila berada di atas trek nanti. "Ia bukan mengenai menang atau kalah, ia adalah memberi yang terbaik.

"Saya akan menyaksikan kamu beraksi. Ingatlah setiap kali anda berlumba dan bersaing, menang atau kalah, pastikan lawan akan tahu yang mereka berlumba dengan pelumba Malaysia. Itu yang penting. Sekarang lakukan yang terbaik," katanya.

Shah Firdaus bakal membuat penampilan ketiga di Kejohanan Dunia itu bakal beraksi di Velodrom Jean-Stablinski, Perancis, veldorom yang asing baginya.

Namun dia perlu menganalisa trek berkenan yang mungkin akan menjadi venue pertandingan di Olimpik Paris 2024 nanti.

Disiarkan pada: October 17, 2021 @ 1:42pm
d