Sukan Lain

Fuad harap namanya tidak tercicir ke Sukan Sea

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Petinju kebangsaan, Muhamad Fuad Mohd Redzuan mengharapkan peluang untuk memperagakan aksi pada pentas Sukan Sea di Vietnam akan datang tidak tertutup, meskipun Persekutuan Tinju Malaysia (PTM) dijangka akan mempertaruhkan petinju muda.

Petinju berasal dari Negeri Sembilan berusia 29 tahun itu berkata, dia masih mengharapkan dapat memberikan cabaran pada temasya sukan terbesar rantau ini berkenaan.

"Hasrat untuk beraksi di Sukan Sea akan datang itu memang ada namun setakat ini belum pasti kerana difahamkan persatuan dan ketua jurulatih (Rustam Saidov) berkemungkinan memilih petinju muda untuk menggalas cabaran negara.

"Setakat ini saya rasa peluang itu 50-50, tapi jika diberi peluang dan terpilih, saya akan buat yang terbaik untuk mendapatkan pingat buat negara," katanya.

Muhamad Fuad berkata, dia masih meneruskan latihan di bawah Program Podium bimbingan Saidov yang berpusat di Bukit Jalil, sementara menunggu pusat latihan baharu di Nilai, Negeri Sembilan, yang dijangka dibuka pada awal tahun hadapan.

Pemenang pingat emas Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 dan gangsa pada temasya di Manila dua tahun selepas itu, akui petinju muda yang sedang dibentuk ketika ini terdapat kalangan mereka yang beraksi dalam kategori ditandinginya iaitu 52 kilogram (kg).

Menurutnya, situasi itu membuatkan dia bakal bersaing dengan petinju muda berkenaan dalam pemilihan untuk mewakili negara nanti.

"Oleh itu, saya perlu bekerja keras mendapatkan prestasi terbaik bagi memastikan peluang berada dalam skuad kebangsaan ke Sukan Sea nanti, cerah," katanya.

Muhamad Fuad juga mengakui selesa dengan corak latihan dibawa ketua jurulatih dari Uzbekistan itu dan banyak aspek yang dapat dipelajarinya dalam usaha meningkatkan lagi tahap prestasi.

"Saya jangkakan kemungkinan akhir bulan ini atau bulan depan nama-nama mereka yang akan terpilih untuk ke Sukan Sea dapat diketahui," katanya.

Dalam laporan media sebelum ini, PTM dikatakan akan mempertaruhkan atlet muda dan senior pada penyertaan di Sukan Sea Vietnam, selaras dengan usaha melahirkan juara peringkat Asia Tenggara di bawah umur 25 tahun.

Presiden PTM Mohd Iruan Zulkefli dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat kerana mahu melihat bakat-bakat muda negara meraih pingat emas di Sukan Sea pada masa depan dan tidak hanya bergantung kepada atlet senior semata-mata.

Sebagai rekod, skuad tinju negara berjaya meraih tiga pingat gangsa pada Sukan Sea 2019 di Manila, Filipina melalui Muhamad Fuad Redzuan dalam acara light flyweight kategori 46-49 kg, Mohd Aswan Che Azmi (middleweight 75kg) dan Khir Akyazlan Azmi (light heavyweight 81kg).

Disiarkan pada: October 19, 2021 @ 3:23pm
d