Sukan Lain

Beasley yakin Shah, Fadhil mampu raih pingat

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley meluahkan keyakinan bahawa dua pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Zonis mampu untuk menghadiahkan pingat buat negara di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI 2021 di Roubaix, Perancis, biarpun tanpa kehadiran beliau bersama.

Kata Beasley, kedua-dua pelumba negara itu sudah melakukan persiapan rapi untuk menghadapi kejohanan itu dan tiada sebab mengapa mereka tidak mampu untuk menjelmakan pingat kerana kedua-dua pelumba negara itu sudah bertaraf dunia. Ini kerana, beliau tetap memantau perkembangan dua pelumba negara itu biarpun kini beliau berada di Australia dengan persiapan rapi sudah dilakukan.

"Persiapan untuk Fadhil dan Shah berjalan lancar mengikut apa yang dirancang. Saya yakin kedua-duanya mampu mempamerkan aksi terbaik dan menamatkan aksi di kedudukan podium di Roubaix.

"Saya cukup gembira dan teruja dengan apa yang dipamerkan oleh mereka. Satu musim yang panjang terutama buat Fadhil yang terlepas peluang ke Tokyo namun tetap meneruskan latihan bersungguh-sungguh.

"Dia membuktikan kerja kerasnya itu berbaloi apabila meraih pingat ketika di Hong Kong dan itu bonus hasil daripada kerja kerasnya dan kini saya yakin dia sudah bersedia untuk tugas seterusnya," katanya menjelang kejohanan yang akan berlangsung dari 20 hingga 24 Oktober ini.

Pada Mei lalu, Fadhil mengungguli ranking nombor satu dunia acara ujian masa selepas meraih pingat perak acara itu pada Kejohanan Piala Negara UCI di Hong Kong.

Dalam perkembangan yang sama Beasley turut melontarkan keyakinan yang sama terhadap kemampuan Shah Firdaus untuk menghadiahkan pingat buat negara.

"Tiada sebab mengapa Shah tidak mampu untuk menghadiahkan pingat dalam acara pecut dan pastinya dia berpeluang cerah dalam keirin.

"Pengalaman beraksi di Olimpik akan membantunya dan dia kini sudah kembali ke momentum terbaiknya biarpun pada mulanya saya menjangkakan akan ada sedikit penurunan tapi sebaliknya, apabila prestasinya terus meningkat dan berada di tahap terbaik," katanya.

Disiarkan pada: October 19, 2021 @ 6:26pm
d