Sukan Lain

Selamat tinggal Melbourne

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Skuad berbasikal trek negara akhirnya akan kembali berpangkalan di Malaysia selepas lebih sedekad menjadikan Melbourne sebagai lokasi latihan skuad basikal elit negara.

Perkara itu dimaklumkan ketua jurulatih, John Beasley yang memaklumkan skuad basikal negara dijangka kembali berpusat di Malaysia akhir tahun depan.

Persiapan untuk temasya Komanwel di Birmingham dan Sukan Asia Hangzhou adalah medan latihan terakhir mereka di Melbourne.

"Malaysia akan menjadi rumah saya selepas ini. Mudah-mudahan saya akan mendapat visa jangka panjang untuk memudahkan saya datang dan pergi ke Malaysia dan Australia. Komanwel di Birmingham dan Sukan Asia Hangzhou akan menjadi tugas terakhir kami di Australia dan kemudiannya semua program akan bermula di Malaysia," katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Beasley menjelaskan sebab dia tidak dapat menemani dua pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus dan Muhammad Fadhil Zonis beraksi di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2021 di Roubaix, Perancis.

Ini kerana kerajaan Australia menyekat kemasukan dari Eropah kerana Covid-19 yang mana sekiranya Beasley ke Perancis beliau tidak akan dapat kembali ke Melbourne sehingga sempadan dibuka semula.

"Saya sangat kecewa kerana tidak dapat bersama mereka di Perancis dan saya harap semua faham akan situasi saya ketika ini. Saya akan berada di Australia dan terus merancang program untuk pelumba negara dan menjaga (Datuk) Azizulhasni Awang. "Kami akan menunggu anda berdua (Fadhil dan Shah) datang akhir tahun ini atau awal tahun depan dan selepas ini kita akan mempersiapkan diri untuk menghadapi Sukan Komanwel dan Asia," katanya.

Beasley selepas temasya Olimpik Tokyo tamat menyatakan kesediaannya untuk berpindah ke Malaysia sekiranya diberikan kontrak jangka panjang oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Disiarkan pada: October 21, 2021 @ 10:13pm
d