Sukan Lain

Pestans harap kemelut PSM berakhir

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Persatuan Sepaktakraw Negeri Sembilan (Pestans) berharap kemelut yang melanda Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dapat segera diselesaikan agar agenda pembangunan sukan berkenaan dapat dilaksanakan.

Presiden Pestans, Wan Mohd Husni Abdullah berkata, selagi masalah PSM tidak diselesaikan, usaha pembangunan dan penganjuran kejohanan berprestij seperti Liga Sepak Takraw (STL), Kejohanan Piala Emas Khir Johari dan grand prix tidak dapat diteruskan.

"Kami amat mengharapkan kemelut PSM segera dinoktahkan demi kelangsungan pembangunan dan kemajuan sukan sepak takraw negara.

"Pestans berpendapat sekiranya kemelut ini berterusan ia akan merugikan banyak pihak bukan sahaja kepada persatuan sukan itu sendiri tetapi paling terkesan ialah pemain.

"Diharap dengan rancangan PSM untuk mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) di Kuala Lumpur pada Sabtu ini dapat menamatkan segala kemelut yang berlaku sekali gus membawa era pemulihan kepada badan induk sukan sepak takraw negara itu," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya berharap semua perkara membabitkan PSM akan diperbincangkan dengan baik pada EGM itu nanti yang menjurus kepada langkah mencari jalan penyelesaian termasuk melantik kepemimpinan yang baharu bagi menerajui persatuan.

"Kami mengharapkan PSM akan mempunyai kepemimpinan baharu yang berwibawa bagi memimpin tampuk persatuan itu yang berupaya membawa PSM terus maju dan cemerlang demi kepentingan sukan sepak takraw negara di masa hadapan," katanya.

Dalam laporan media sebelum ini, Pemangku Presiden PSM, Datuk Akramuddin Abdul Aziz menjelaskan bahawa PSM akan mengadakan EGM pada pada 30 Oktober ini.

Akramuddin berkata, pihak pengurusan akan menghantar semula draf pindaan perlembagaan kepada negeri-negeri bagi mendapatkan sokongan ketika EGM itu.

Disiarkan pada: October 26, 2021 @ 12:59pm
d