Sukan Lain

Azroy harap sokongan PABM

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Atlet angkat berat yang digantung kerana kesalahan doping, Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad mengharapkan sokongan dan bantuan daripada Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM).

Azroy yang juga pemenang pingat emas Sukan Komanwel Gold Coast selesai menjalani sesi pendengaran dikendalikan oleh panel Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) Sabtu lalu.

Pada sesi berkenaan, Azroy menyerahkan surat rayuan memaklumkan tahap kecederaan yang dialaminya kepada panel berserta surat dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Institut Sukan Negara (ISN) berhubung kecederaan itu.

Azroy berkata, dia turut memohon kepada PABM menghantar surat sokongan bagi membolehkan hukuman dapat dikurangkan.

"Saya harap sangat-sangat hukuman dapat dikurangkan kepada dua tahun bagi membolehkan saya cuba untuk melayakkan diri ke temasya Olimpik. Saya sudah jelaskan semuanya kepada panel mengapa saya mengambil ubat berkenaan dan saya berharap mereka faham akan situasi saya dan mengapa saya terpaksa mengambil ubat berkenaan.

"Saya juga sudah meminta PABM untuk sama membuat rayuan tapi hingga sekarang tiada sebarang maklum balas dari pihak persatuan," katanya.

Bagaimanapun, keputusan hukuman terhadap Azroy itu hanya akan diketahui dalam tempoh dua bulan.

Pengarah Adamas, Azura Bidin berkata, ketika ini panel yang dilantik untuk sesi pendengaran itu akan meneliti segala hujah kedua-dua atlet berkenaan.

Azroy atlet pertama yang dipanggil untuk memberi keterangan manakala Muhammad Ikram Haikal Muhammad Zuari akan menghadiri satu lagi sesi pendengaran minggu depan.

Kedua-duanya berdepan hukuman maksimum empat tahun jika didapati bersalah dan ini bermakna Azroy akan terlepas peluang mempertahankan emas yang dimenanginya pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018 di Birmingham tahun depan.

Disiarkan pada: October 26, 2021 @ 8:54pm
d