Sukan Lain

Jaguh lompat kijang kini ligat jual rumah

Oleh Hamdan Saaid

Kuala Lumpur: Atlet lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail tidak dapat berjalan seperti biasa ketika ini selepas menjalani pembedahan tumit kaki kiri minggu lalu yang memaksanya untuk berehat lebih tiga bulan.

Namun sebagai seorang perunding hartanah, Hakimi, 30, bagaikan melupakan semua kesakitan itu untuk melayan permintaan pelanggannya yang mahu melihat rumah yang mahu dibeli.

"Bila kerja dengan orang, 'bos, saya baru lepas operation. Doktor bagi cuti 2 minggu. Saya tak datang kerja ya," tulisnya dalam hantaran terbaharu di laman Instagram.

"Tapi bila kita seronok buat kerja kita, 'Encik Hakimi, boleh saya tengok rumah hari ini? Boleh, pukul berapa nak datang?" jawabnya, sambil berkata: 'bertongkat pun boleh tunjuk rumah juga'.

Hakimi berkata, menjadi perunding hartanah bukan kerja untuk mendapat untung semata-mata tetapi perlu memberikan perkhidmatan yang terbaik sambil membantu memudahkan kerja orang lain untuk mencapai impian mereka.

"Saya bangga menjadi seorang atlet dan REN (real estate negotiator) a.k.a ejen hartanah," tulisnya.

Selepas menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta Jumaat lalu, Hakimi sudah mula menjalani sesi fisioterapi di Institut Sukan Negara, Bukit Jalil.

Dia bagaimanapun mungkin terlepas peluang mempertahankan pingat emas pada Sukan Sea Hanoi 2021 yang dilangsungkan pada Mei depan kerana sukar untuk bertanding ketika tempoh pemulihan.

Hakimi, yang memenangi pingat emas lompat kijang tiga kali berturut-turut pada Sukan Sea Singapura 2015, Kuala Lumpur 2017 dan Manila 2019, dilaporkan berusaha untuk melayakkan diri ke Sukan Komanwel Birmingham 2022 (25 Julai-8 Ogos) dan Sukan Asia Hangzhou (10-25 September).

Dia juga pernah meraih pingat perak pada Sukan Sea 2013 di Myanmar, keenam pada Sukan Asia Incheon 2014 dan ketujuh pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Sebagai perunding hartanah, Hakimi, pemegang rekod kebangsaan acara lompat kijang dengan jarak 16.77 meter dicatat pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, juga sering menggunakan media sosial sebagai platform untuk mewar-warkan mengenai hartanah baharu yang boleh ditawarkan di pasaran.

Disiarkan pada: October 27, 2021 @ 9:27pm
d