Sukan Lain

Sukma KL dianjurkan kembali

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Sukan Malaysia (Sukma) Kuala Lumpur akan kembali menghangatkan arena sukan negara apabila akan dianjurkan tahun depan sebagai usaha memastikan atlet akar umbi lebih bersedia menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Majlis Sukan Negara (MSN) akan menggalas tanggungjawab menguruskan kejohanan berkenaan termasuk memperincikan lagi jumlah sukan dan tarikh bersesuai penganjuran pertandingan itu.

Beliau berkata, Sukma Kuala Lumpur yang kali terakhir diadakan pada 2013 itu cukup penting sebagai platform persediaan kepada atlet untuk menyertai kejohanan lebih besar seperti Sukan Sea, Asia dan Komanwel.

"Kita sudah mengambil keputusan untuk menangguhkan Sukma Johor tapi kita akan teruskan dengan kejohanan Sukma ini (Sukma Kuala Lumpur) tapi diambil alih oleh pusat iaitu MSN sendiri.

"Beberapa perkara dalam kajian dan perlu diteliti sekarang ini...pertama jumlah acara, kami sudah mendapat maklum balas daripada semua negeri dan semua bersepakat pertandingan yang diputuskan sebelum ini diteruskan.

"Penting untuk dianjurkan bagi mencungkil bakat bagi diserapkan untuk bertanding di Sukan Sea, Asia dan Komanwel. MSN tentunya akan perhalusi perkara ini dan jawatankuasa teknikal akan lihat satu persatu," katanya, ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan, di sini, hari ini.

Majlis Sambutan Hari Belia Negara peringkat kebangsaan itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob.

Sementara itu, Faizal berkata, pihaknya juga akan mempertimbangkan cadangan beberapa pihak untuk menganjurkan sukan tertentu seperti menembak dan pelayaran di negeri lain.

"Pentingnya semua sukan teras dianjurkan di satu tempat sebab kita mahu Sukma itu dirasai namun seperti menembak mungkin boleh diadakan di Perak manakala layar pula di Langkawi.

"Paling penting adalah akibat penangguhan ini (Sukma Johor) atlet yang sudah berlatih untuk menyertai Sukma dapat bertanding. Malah kita juga sudah menaikkan had umur supaya mereka dapat menyertainya," katanya.

Mengikut rekod, Sukma Kuala Lumpur boleh dikatakan sebagai 'mini' Sukma yang mula dianjurkan pada 2011 sebelum dibatalkan penganjurannya lapan tahun lalu.

Disiarkan pada: October 30, 2021 @ 8:59pm
d