Sukan Lain

Kes Ziyad diumum minggu depan

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Kebenaran sudah diketahui dan kini hanya menunggu saja pengumuman berhubung kontroversi melanda jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli yang kemungkinan akan diketahui pada minggu depan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pengumuman akan dibuat sebaik situasi reda membabitkan pembentangan bajet 2022 dan Hari Belia Negara.

"Sebab kenapa saya tidak umumkan pada hari ini kerana sekarang ini adalah Hari Belia Negara dan semalam ada pembentangan bajet.

"Saya berharap akan bentangkannya minggu depan supaya lepas semua bincang mengenai bajet dan Hari Belia Negara… jadi selepas ini bincang pasal Ziyad pula," katanya, ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Dalaman, Tan Sri Borhan Dolah mendedahkan bahawa pihaknya sudah mengetahui kebenaran berkaitan isu Ziyad yang didapati lewat tiba di bilik menunggu sehingga penyertaan di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dibatalkan.

Walaupun segalanya sudah diketahui terutama berkaitan situasi yang melanda Ziyad namun pihaknya tidak boleh mendedahkan maklumat daripada siasatan yang dijalankan itu.

Mengikut rekod, Ziyad terlepas emas dan rekod dunia yang dilakukannya di Tokyo dengan catatan 17.94 meter (m) selepas penyertaannya diklasifikasikan sebagai DNS (tidak bermula) susulan protes yang dilakukan Ukraine disebabkan kelewatannya tiba di bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.

Disiarkan pada: October 30, 2021 @ 9:20pm
d