Sukan Lain

Misi balas dendam Rayzam

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Jaguh 110 meter lari berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian mahu membalas 'dendam' dengan merampas kembali pingat emas pada kejohanan Sukan Sea di Vietnam tahun depan.

Pada kejohanan olahraga Sukan SEA ke-30 di Stadium Olahraga New Clark City, Filipina dua tahun lalu menyaksikan pingat emas Rayzam seolah-olah 'dirompak' menerusi keputusan berat sebelah bahagian teknikal pertandingan sekali gus terpaksa berpuas hati membawa pulang pingat perak.

Rayzam Shah berkata, situasi berkenaan boleh dikatakan menghantui dirinya seterusnya bertekad mahu merampas kembali pingat emas terbabit pada kejohanan sama akan datang.

Katanya, ketika ini dia giat menjalani latihan di kampung halamannya di Keningau, Sabah, bagi memastikan berada pada tahap optimum.

"Saya memang memasang impian mahu membalas dendam apabila gagal membawa pulang pingat emas dua tahun lalu di Filipina.

"Ketika ini, saya giat perbaiki kualiti larian dan memastikan fizikal sentiasa cergas walaupun berada di kampung.

"Pada masa sama, saya akan pulang ke Kuala Lumpur untuk menjalani latihan seperti biasa dan menyertai beberapa kejohanan untuk meningkatkan keyakinan diri," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Mengikut rekod, pada sukan Sea edisi 2019 menyaksikan Rayzam Shah dan atlet naturalisasi tuan rumah, Clinton Kingsley Bautista mencatatkan masa yang sama iaitu 13.97 saat dalam acara lari berpagar.

Namun pihak teknikal pertandingan memberikan kemenangan kepada Clinton berdasarkan 'photo finish', sekali gus menyaksikan atlet terbabit gagal mengekalkan emas yang dimenangi pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Sementara itu, Rayzam Shah berharap pihak berkaitan dapat mengadakan kejohanan dalam negara bagi memberi peluang kepada atlet menilai keupayaan mereka berikutan sudah lama berehat akibat pandemik Covid-19.

"Saya memang mengharapkan dapat diadakan beberapa kejohanan sebelum bermulanya kejohanan Sukan Sea pada pertengahan tahun depan kerana rata-rata atlet ketika ini kekurangan platform untuk menilai secara tepat keupayaan masing-masing," katanya.

Disiarkan pada: October 31, 2021 @ 1:17pm
d