Sukan Lain

House of Oxygen sedia sahut saranan KBS

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Syarikat pembekal alat pernafasan, House of Oxygen (HOO) bersedia menjalinkan kerjasama bersama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membantu program sukan berprestasi tinggi demi memantap dan membangunkan sukan negara ke peringkat tertinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif dan juga pengasas HOO, Azri Hamzah berkata, pihaknya bersedia untuk mengadakan perbincangan bersama KBS sekiranya wujud peluang untuk jalinan kerjasama demi sukan negara.

"Umpama orang mengantuk disorongkan bantal. Insya-Allah jika KBS membuka peluang kami sebagai usahawan peringkat swasta bersedia untuk menjalinkan kerjasama ini.

"Tak salah menyokong apa yang diperlukan dari segi tenaga, dana atau sebagainya. Perkara ini boleh dibincang lebih lanjut lagi sekiranya mereka sudi," katanya.

Azri berkata demikian ketika melancarkan Kelab Sukan dan Reaksi House of Oxygen (HOO) Semenyih, Selangor, malam tadi.

Dalam perkembangan sama, HOO mengumumkan peruntukan berjumlah RM30,000 kepada kelab sukan dan rekreasi syarikat berkenaan selain penajaan kepada Kelab Badminton Friendship yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

"Secara jujurnya saya memang berminat dengan sukan badminton dan boling. Tiada masalah untuk membincangkan mengenai sokongan dana atau sebagainya.

"Begitupun sukan lain tidak akan ditinggalkan dan mana yang berpotensi kita akan bantu. Jika tidak di peringkat biasa mungkin boleh bantu peringkat negeri dan sebagainya," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah bekas pemain badminton nombor satu dunia, Roslin Hashim.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memaklumkan beberapa syarikat swasta menyatakan minat untuk menjalin kerjasama dengan KBS dalam memberi tajaan kepada kelangsungan program sukan berprestasi tinggi tahun depan.

Bagaimanapun, beliau mengakui tawaran yang diterima masih belum mencukupi, justeru mengajak syarikat swasta serta badan korporat yang lain bekerjasama dengan KBS membantu atlet menjalani latihan menerusi program itu supaya mereka dapat terus bersaing di peringkat tertinggi.

Disiarkan pada: November 4, 2021 @ 6:21pm
d