Sukan Lain

Josiah terbit buku untuk cetus inspirasi

Oleh Hamdan Saaid

Kuala Lumpur: Bekas jaguh lumba basikal trek negara Josiah Ng gigih mencetus inspirasi dalam kalangan remaja dan belia dengan menerbitkan buku untuk golongan itu di samping membuat program pembangunan diri buat setiap golongan tidak kira muda atau tua.

Buku "Make it Happen" memperincikan perjalanan bekas pelumba berusia 41 tahun itu sebagai atlet yang bertanding pada Sukan Olimpik sebanyak tiga kali pada Athens 2004, Beijing 2008 dan London 2012.

"Satu daripada sasaran saya adalah untuk mencetus inspirasi kepada golongan belia negara ini. Saya menerbitkan satu buku buat belia. Ada dua versi gred 2-8 (32 muka surat) dan gred 6-12 (56 muka surat).

"Ia bertujuan untuk mencetus inspirasi, motivasi dan membantu anda membina kemahiran hidup dan minda diperlukan untuk berjaya dalam kehidupan dan sukan.

"Saya bekerja dengan penerbit syarikat pendidikan di New York kerana saya tidak mahu hanya menulis satu autobiografi sukan biasa. Sebaliknya saya mahu menumpukan kepada belia meraih minda kemenangan yang positif," tulisnya dalam laman Instagram.

Josiah berkata, salinan buku dalam bentuk PDF itu boleh menjadi milik anda dengan harga hanya RM20. Anda hanya perlu menyertakan alamat e-mel di ruangan komennya selepas membuat bayaran.

Bekas pelumba keirin nombor satu dunia itu, yang memenangi pingat emas pada Sukan Komanwel Delhi 2010, juga menyatakan program #personaldevelopment hasil usaha samanya dengan syarikat percutian Airbnb semakin mendapat perhatian.

"Kami bermula hampir dua tahun lalu dengan hanya setengah jam pembentangan. Ia kini dibangunkan menjadi satu program dan digunakan oleh banyak pertubuhan untuk pasukan mereka.

"Apa yang anda dan pasukan anda akan peroleh daripadanya? Pembangunan minda, penetapan matlamat seperti seorang Olimpian dan membina pasukan bimbingan anda sebagai asas bagi setiap orang yang berjaya di peringkat tertinggi.

"Saya secara peribadi sudah membantu beribu-ribu orang tapi ia tidak mencukupi. Matlamat saya adalah untuk membantu berjuta-juta orang dalam perjalanan mengembangkan minda mereka! Saya berharap dapat membantu anda dan pasukan anda memupuk minda Olimpian!

"Apa tunggu lagi, jom menang bersama di airbnb.com/josiahng," tulisnya yang kini bertugas sebagai jurulatih skuad berbasikal Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak.

Disiarkan pada: November 6, 2021 @ 6:29pm
d