Sukan Lain

Ziyad tidak sabar sambung latihan

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Atlet lontar peluru para negara Mohammad Ziyad Zolkefli kini sudah tidak sabar untuk kembali mengharungi latihan selepas segala urusan membabitkan kesnya ketika di temasya Paralimpik Tokyo Ogos lalu selesai.

Kata Ziyad, tiada apa lagi yang perlu difikirkan malah dia sendiri mahu membuka lembaran baru dan dengan satu misi utama adalah memecahkan rekod dunia dalam acaranya itu selepas rekod yang dicipta ketika Paralimpik Tokyo iaitu 17.94 meter (m) diklasifikasikan sebagai Did Not Start (DNS) tidak diiktiraf.

Ziyad, 31, berkata ketika ini dia sudah kembali ke Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menjalani rutin latihan seperti biasa.

"Saya sudah pun kembali ke MSN untuk berlatih seperti biasa namun ketika ini perlu menjalani kuarantin terlebih dulu selama lima hari sebelum dapat menjalani latihan.

"Bagi saya tiada apa yang perlu diingatkan lagi dengan kisah lalu dan perlu terus pandang ke depan dan melunaskan janji saya untuk memecahkan rekod dunia," katanya.

Ziyad berkata antara kejohanan yang menjadi sasarannya selepas ini adalah temasya Sukan SEA Vietnam selain Para Asia di Hangzhou China Oktober tahun depan.

Dalam perkembangan yang sama Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, kes membabitkan isu Ziyad sudah pun selesai dan tidak akan ada lagi tindakan susulan selepas ini.

Namun beliau berharap dengan pendekatan baru seperti memperkenalkan surat aku janji akan menjadikan semua pegawai dan atlet lebih peka selepas ini.

Disiarkan pada: November 10, 2021 @ 7:38pm
d