Sukan Lain

Tawaran RM1 juta buat pemenang emas Paris 2024

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pemenang pingat emas Olimpik Paris 2024 boleh dikatakan sebagai jutawan apabila BT Bina Group Sdn Bhd bersedia menawarkan wang tunai berjumlah RM1 juta kepada atlet yang berjaya meraih kejayaan itu.

Ganjaran itu diberikan bagi meniup semangat atlet negara untuk berusaha bersungguh-sungguh merealisasikan impian semua pihak yang mahu menamatkan kemarau pingat emas pertama Malaysia di pentas Olimpik.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BT Bina Group Datuk Seri David Tan berkata, usaha dan strategi untuk memenangi pingat emas itu perlu bermula sekarang bagi merealisasikan misi negara dan pihaknya berharap tawaran tersebut mampu meningkatkan lagi motivasi atlet negara memburu pingat emas Olimpik pertama buat negara.

"Saya dan semua rakyat Malaysia masih menanti pingat emas Olimpik pertama negara. Oleh itu, saya bersedia untuk memberi wang tunai berjumlah RM1 juta kepada pemenang pingat emas di Olimpik Paris 2024.

"Dengan ganjaran ini, saya harap ia mampu menyemarakkan lagi semangat atlet negara memburu pingat di Olimpik Paris nanti.

"Usaha itu perlu bermula dari sekarang. Saya percaya peluang untuk atlet negara meraih emas di Paris 2024 ada, tetapi paling penting mereka perlu sangat berdisiplin dan berusaha keras, selain mendapat lebih banyak pendedahan di kejohanan antarabangsa," katanya.

Mengikut rekod, pemenang pingat emas Olimpik turut akan menerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) RM1 juta serta beberapa faedah lain.

Terdahulu, pada Olimpik Tokyo 2020 yang berlangsung dalam cabaran pandemik Covid-19 kontinjen negara berjaya meraih satu pingat perak dan gangsa walaupun sasaran awal adalah membawa pulang tiga pingat dengan salah satunya adalah emas.

Satu perak menerusi Datuk Mohd Azizulhasni Awang dalam acara keirin dan gangsa menerusi gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam acara badminton beregu lelaki.

Ia sekali gus menyamai pencapaian pingat perak menerusi Datuk Lee Chong Wei (badminton perseorangan lelaki) dan gangsa Pandelela Rinong (terjun 10m platform wanita) di London 2012, manakala pencapaian terbaik Malaysia adalah di Rio 2016 apabila kontinjen negara pulang dengan empat perak dan satu gangsa.

Sebelum ini, syarikat berkenaan menghadiahkan sebuah rumah suite bernilai RM 800,000 di Bangsar kepada pemain badminton negara Cheah Liek Hou bersama jurulatihnya, Datuk Rashid Sidek selepas aksi cemerlangnya dengan membawa pulang pingat emas di temasya Paralimpik Tokyo 2020, September lalu.

Disiarkan pada: November 17, 2021 @ 9:03pm
d