Sukan Lain

Jacobs cabar Usain Bolt 'rebut bendera'

Oleh AFP

Rome: Juara 100 meter (m) Olimpik dari Itali, Lamont Marcell Jacobs mencabar Usain Bolt dalam acara pecut berpasukan amal selepas jaguh Jamaica yang sudah bersara itu berkata dia boleh memenangi perlumbaan riben biru di Tokyo.

Bolt memberitahu AFP dalam temu bual minggu lalu bahawa dia begitu kecewa melihat temasya Olimpik 2020 yang tertangguh dari negara asalnya ketika atlet lelaki negaranya kecewa dan Jacobs yang tidak begitu dikenali sebelum Olimpik, melakar kejayaan mengejutkan.

Atlet Jamaica berusia 35 tahun yang juga pemegang rekod dunia dalam acara 100m dengan catatan terbaik 9.58 saat (s) yang dilakukan pada 2009, berkata kemenangan Jacobs dengan catatan 9.80s di Tokyo masih jauh daripada tahapnya sekalipun sudah bersara pada 2017.

Jacobs, yang tidak menyertai perlumbaan sejak memenangi pingat emas acara pecut, memuat naik di media sosial untuk mencabar Bolt, pemenang lapan pingat emas Olimpik dan 11 kali juara dunia.

"Anda adalah wira saya, terima kasih atas pujian itu!" kata Jacobs yang dilahirkan di negara bapanya, Amerika Syarikat namun dibesarkan di Itali oleh ibunya warga Itali.

"Tetapi anda juga berkata anda mampu menang, jadi saya menerima cabaran itu!

"Bagaimana dengan memulakan dalam perlumbaan amal bagi acara merebut bendera? Anda bersama pasukan anda dan saya bersama pasukan saya!"

Acara merebut bendera atau "rubabandiera" dikenali di Itali, adalah permainan popular di kawasan sekolah oleh kanak-kanak dengan dua pasukan bersaing merampas bendera di ruang khas masing-masing.

Disiarkan pada: November 23, 2021 @ 8:33am
d