Sukan Lain

ISN perkenal fasiliti terbaru RM13 juta

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Institut Sukan Negara (ISN) mengorak selangkah lagi apabila memperkenalkan fasiliti terbaru yang dinamakan Pusat Pemulihan Prestasi Tinggi Bersepadu.

Fasiliti bernilai RM13 juta itu satu-satunya yang ada di negara ini dan bakal memberi manfaat kepada atlet negara terutama membabitkan sukan berprestasi tinggi.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, fasiliti terbaru itu menjadi penanda aras baharu dalam bidang sains sukan negara.

"Ia bertaraf antarabangsa dan tentunya ia berita baik buat atlet dan juga kepada awam. Saya bersyukur ia sudah disiapkan dan mula beroperasi, saya berharap ia digunakan dengan baik.

"Saya juga sudah meminta ISN memastikan penyelenggaraan fasiliti itu berada pada tahap terbaik setiap masa untuk jangka panjang. Ia satu-satunya di Malaysia dan tentu sekali fasiliti yang baru ini amat membanggakan," katanya.

Beliau ditemui selepas hadir pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 ISN hari ini yang turut dihadiri timbalannya, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker.

Pusat pemulihan itu disediakan kepada atlet berprestasi tinggi, kelab sukan dan persatuan sukan selain turut dibuka kepada orang ramai.

Fasiliti berkenaan dilengkapi kemudahan rehabilitasi terkini bagi menyediakan atlet dengan teknik pemulihan canggih sekali gus dapat mengoptimumkan aspek prestasi serta proses pemulihan selepas latihan atau pertandingan.

Disiarkan pada: November 25, 2021 @ 9:46pm
d