Sukan Lain

Aifa ke final Terbuka Malaysia

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Pemain skuasy wanita negara, Aifa Azman terus melakar kejutan apabila berjaya mara ke perlawanan akhir Terbuka Malaysia.

Walaupun berstatus wild card, dia sekarang ini hanya selangkah lagi untuk menjulang trofi selepas memenangi perlawanan separuh akhir di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.

Aifa berjaya menyingkirkan pemain ranking ke-19 dunia yang juga pilihan kelima kejohanan dari Kanada, Danielle Letourneau selepas mencatat kemenangan 3-1.

Menurut pemain kelahiran Kedah itu, lawannya bermain dengan baik dan berjaya mencuri mata di set ketiga, namun dia berasa sangat lega apabila kembali ke gelanggang untuk memenangi set keempat.

"Saya sangat gembira kerana berjaya memenangi peringkat separuh akhir kejohanan berprestij seperti ini (Terbuka Malaysia). Saya tak sabar untuk cuba menang aksi final nanti," katanya selepas tamat perlawanan sebentar tadi.

Aifa yang menghuni ranking ke-69 dunia membuka langkah kanan di Terbuka Malaysia dengan kemenangan 11-8, 11-5, 11-3 ke atas Mayar Hany dari Mesir.

Dia kemudiannya terus mengorak langkah apabila menyingkirkan dua lagi wakil Mesir Yathreb Adel dan Hana Ramadan untuk mara ke separuh akhir.

Aifa bermula cemerlang dengan mendahului Letourneau 2-0 (11-4, 11-7), namun lawan itu memperkemaskan permainan untuk memenangi set ketiga 5-11 sebelum bangkit mendominasi set keempat 11-3 sekali gus mara ke pentas final esok.

Sebagai rekod, Aifa muncul satu-satunya wakil negara selepas Rachel Arnold tersingkir di peringkat suku akhir, manakala Ooi Kah Yan dan Chan Yiwen terkandas seawal pusingan pertama.

Disiarkan pada: November 26, 2021 @ 6:29pm
d