Sukan Lain

Misi penting Eain Yow di Kejohanan Berpasukan Asia

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Selepas berhempas-pulas sehingga mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia, pemain skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow mempunyai satu lagi misi penting minggu depan apabila mengetuai skuad lelaki untuk bersaing di Kejohanan Berpasukan Asia bersama Ivan Yuen, Syafiq Kamal dan Adden Idrakie Bahtiar.

Berlangsung di gelanggang yang sama, Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil, Eain Yow mengakui fokusnya kini terarah untuk memimpin pasukan bagi mendapat keputusan lebih cemerlang.

"Minggu depan ada satu lagi kejohanan, minggu ini saya bermain untuk diri saya sendiri dan minggu depan untuk pasukan negara. Sudah tentunya saya akan melakukan lebih baik menjelang kejohanan berkenaan," katanya selepas terkandas di separuh akhir Terbuka Malaysia apabila kalah kepada Miguel Rodriguez 9-11, 9-11, 6-11.

Bagaimanapun, Eain Yow mengakui untuk tempoh beberapa hari yang ada sebelum Kejohanan Berpasukan Asia membuka tirai dia perlu melihat semula permainan yang ditampilkannya di Terbuka Malaysia terutama ketika kalah kepada Rodriguez.

"Saya perlu sedikit masa untuk lihat semula apa yang berlaku (ketika kalah kepada Rodriguez). Bagaimanapun, saya akan bersedia untuk meneruskan aksi minggu depan," kata pemain yang menduduki ranking ke-18 dunia itu.

Ditanya mengenai aksi keseluruhan di Terbuka Malaysia, pemain berusia 23 tahun itu mengakui tidak berpuas hati walaupun mampu mara sehingga ke separuh akhir.

"Saya tidak begitu puas hati kerana jika saya beraksi di Terbuka Malaysia sasaran saya hanya untuk mencari kemenangan tidak kisah menentang pemain mana sekali pun. Walaupun ketika berdepan pemain nombor satu atau dua dunia.

"Kalau saya kalah dengan mereka saya tetap akan berasa kecewa kerana sasaran saya hanya mahukan kemenangan terutama dengan kehadiran penyokong negara.

"Bagaimanapun, berjaya mara ke separuh akhir ada positif dan negatif, bagaimanapun bagi saya banyak lagi perlu diperbaiki menjelang kejohanan minggu depan," kata pemain kelahiran Kuala Lumpur itu.

Skuad lelaki negara pernah muncul juara sebanyak tiga kali di Kejohanan Berpasukan Asia iaitu pada 2000, 2006 dan 2008, manakala pencapaian paling terkini ialah berkongsi tempat ketiga/keempat bersama Iran dan India pada 2016 dan 2018.

Disiarkan pada: November 27, 2021 @ 1:44pm
d